Skip to main content

Malaysia

Mohamad tiba di Manila untuk Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Filipina

Sumber: BERNAMA
Mohamad bersalaman dengan pegawai Kementerian Luar sebaik tiba di Manila, malam tadi, bagi menghadiri Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) Malaysia-Filipina ke-9. Mesyuarat selama dua hari itu merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Filipina, dengan Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) bermula hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

MANILA: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tiba di sini, malam tadi untuk mengetuai delegasi Malaysia pada Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) Malaysia-Filipina ke-9, hari ini.

Mohamad tiba kira-kira 9.40 malam di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino menjelang Mesyuarat Peringkat Menteri yang dijadualkan berlangsung di Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) pagi ini.

Sejurus tiba, beliau disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino, manakala Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Wisma Putra, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin dan pegawai lain menyambutnya di hotel.

Mohamad akan mempengerusikan mesyuarat itu bersama-sama Setiausaha Luar Filipina, Ma. Theresa P. Lazaro yang akan diakhiri dengan pemeteraian minit yang dipersetujui.

JCM selama dua hari itu merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Filipina, dengan Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) bermula hari ini.

Antara isu utama dalam agenda ialah memperkukuh perdagangan dua hala, memacu pelaburan rentas sempadan dan meningkatkan daya tahan ekonomi serantau.

Kedua-dua menteri itu juga dijangka meneroka peluang untuk memperluas kerjasama dalam ekosistem halal dan kewangan Islam, tenaga, pertanian dan keterjaminan makanan, kerjasama pertahanan dan keselamatan, serta pengurusan bencana dan tindak balas kecemasan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement