Lapan bulan selepas pelantikan jawatan sebagai Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyifatkan beliau masih terkejut dan kagum kerana masih mampu bertahan sehingga saat ini.

"Ia tidak teruk tetapi sangat mencabar kerana sewaktu saya menerima jawatan, situasi ketika itu sangat mencabar.

"Saya mengambil tanggungjawab ini dalam persekitaran yang tidak begitu kondusif, tetapi saya menerimanya sebagai cabaran," kata Mohamed Apandi ketika dialog bersama pengamal media bertajuk 'Media dan Undang-undang: Perspektif Negara' di sini pada Selasa.

Mohamed Apandi berkata beliau sering teruja dengan cabaran dan sentiasa mengingatkan dirinya dan orang lain jika sesuatu pekerjaan itu berkait rapat dengan undang-undang, minat itu akan sentiasa wujud.

"Walau bagaimana sukar perjalanan itu, saya akan terus meminati pekerjaan ini.

"Walaupun saya berdepan pelbagai kritik, saya akan tetap meneruskannya," kata Mohamed Apandi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang untuk menggambarkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai Peguam Negara dalam sesi soal jawab.

Mohamed Apandi dilantik sebagai Peguam Negara pada 27 Julai 2015 menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail yang ditamatkan perkhidmatannya atas sebab kesihatan.

Penamatan perkhidmatan Abdul Gani bagaimanapun menimbulkan spekulasi kerana ia dilakukan ketika siasatan syarikat pelaburan negara, 1Malaysian Development Berhad (1MDB), sedang dijalankan.

Mohamed Apandi Ali, pada 26 Jan lepas, telah membersihkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada sebarang salah laku berkaitan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion yang dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.

Mohamed Apandi berkata siasatan menunjukkan bahawa jumlah yang dimasukkan ke dalam akaun ialah RM2.08 bilion, dan ia adalah sumbangan peribadi daripada keluarga Diraja Saudi pada 2013, dan RM2.03 bilion kemudian telah dipulangkan kepada penderma pada tahun yang sama.