SAN FRANCISCO: Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Mohammad Agus Yusoff, tidak lagi mempunyai kaitan dengan kerajaan atau jabatan berkenaan.

Mengesahkan perkara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, penggantian kekosongan jawatan Ketua Pengarah J-KOM akan dilaksanakan secepat mungkin.

"Kita ucapkan terima kasih, sekarang individu itu (Mohammad Agus) tidak lagi ada apa-apa kaitan dengan kerajaan atau J-KOM.

"Saya belum bercakap dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) khusus mengenai perkara ini, tetapi saya percaya insya-Allah, langkah-langkah untuk mengisi jawatan itu akan dibuat secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di San Francisco sempena lawatan kerja Perdana Menteri, pada Jumaat.

Pada Khamis, Mohammad Agus mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM berkuat kuasa 15 Disember depan.

Beliau bagaimanapun menafikan tindakan peletakan jawatan itu berkait rapat dengan desakan susulan dakwaan prestasi J-KOM yang kurang memuaskan.

Sebaliknya, beliau mendakwa tindakannya itu disebabkan tawaran yang diterima daripada organisasi tempatan dan antarabangsa yang memerlukan khidmatnya.

Mohammad Agus dilantik sebagai Ketua Pengarah J-KOM pada Februari lalu, namun beliau serta jabatan terbabit banyak menerima kritikan berikutan disifatkan kurang berkesan dalam memainkan peranannya menguar-uarkan maklumat berkaitan pelbagai manfaat dan insentif disediakan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat.

Beberapa pihak terutama wakil rakyat pembangkang turut menggesa J-KOM dibubarkan.