KUALA LUMPUR: Tan Sri Dr Mohd Hassan Marican telah diisytihar sebagai Canselor keempat Universiti Teknologi Petronas (UTP).

UTP dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan pengisytiharan itu, yang berlangsung di kampusnya di Seri Iskandar pada Isnin, bagai sirih pulang ke gagang untuk Mohd Hassan kerana idea penubuhan universiti tersebut telah dicetuskan, dikonsepkan dan direalisasikan semasa beliau memegang jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas.

Mohd Hassan dalam ucapannya mengingatkan para graduan agar tidak melupakan golongan tidak bernasib baik dan menyumbang ke arah peningkatan kemasyarakatan dalam apa jua bentuk tanpa mengira kaum atau agama, kepentingan bersikap rasional dan bertangungjawab dalam menangani isu dalam dunia pascapandemik seperti perubahan iklim.

"Kerajaan mungkin bercakap mengenai rancangan dan matlamat mereka berhubung isu iklim dengan sasaran serta tarikh akhir namun caranya adalah di mana cabaran wujud. Saya menggesa para graduan untuk memikirkan caranya. Pertimbang bagaimana anda boleh melibatkan diri dan pada masa yang sama, ingatlah bahawa penyelesaian serta pendekatan perlu dijalankan secara bertanggungjawab," katanya.

Mohd Hassan turut melancarkan sambutan ulang tahun ke-25 UTP yang ditubuhkan pada 10 Jan 1997 dan bagi memperingati jubli perak universiti itu, UTP akan menganjurkan pelbagai acara dan aktiviti sepanjang tahun untuk kakitangan dan penuntutnya serta masyarakat.

Naib Canselor UTP Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib pula menekankan kepentingan mendukung tanggungjawab yang diamanahkan kepada para graduan.

"Kami berharap apabila anda melangkah ke babak seterusnya dalam hidup anda, anda akan mendukung amanah yang diberikan kepada anda oleh orang sekeliling. Ia adalah satu amanah untuk anda sentiasa melakukan perkara yang betul dalam menjalankan amanah itu dan menggalas harapan orang tersayang, UTP serta negara," katanya.

Majlis konvokesyen yang berlangsung dari 10 hingga 14 Jan melibatkan 10 sesi menyaksikan seramai 1,604 graduan menerima skrol masing-masing iaitu 77 ijazah doktor falsafah (PhD), 161 ijazah sarjana dan 1,366 ijazah sarjana muda.

Graduan Sistem Maklumat iaitu Asyraf Irfan Muhammad Adib menerima Anugerah Canselor Emas manakala graduan Teknologi Maklumat iaitu Afifaa Fairos dan graduan Kejuruteraan Petroleum Abdul Haziq Abdul Yazid masing-masing menerima anugerah perak serta gangsa.

Graduan Kejuruteraan Komputer iaitu Muhammad Fathy Rashad pula menerima Anugerah Pelajar Sarjana Muda Antarabangsa Terbaik.

Bavoh Cornelius Borecho, graduan Kejuruteraan Kimia, menerima Anugerah Penyelidikan Pascasiswazah Terbaik bagi kategori doktor falsafah manakala Shamsudeen Temitope Yekeen, graduan Kejuruteraan Awam, menerima anugerah itu bagi kategori ijazah sarjana.

Syahidah Mohd Khairi, graduan Pengkomputeran Gunaan, pula menerima Anugerah Pelajar Terbaik Bagi Program Sarjana Kerja Kursus.

Pengerusi Petronas Tan Sri Datuk Seri Mohd Bakke Salleh, dua Pro Canselor UTP iaitu Datuk Tengku Muhammad Taufik dan Tan Sri Zaharah Ibrahim serta Lembaga Pengarah UTP menyerikan majlis itu dengan kehadiran mereka.

Turut hadir bekas Naib-Naib Canselor UTP iaitu Datuk Dr Rosti Saruwono dan Datuk Ir (Dr) Abdul Rahim Hashim.

-- BERNAMA