PUTRAJAYA: Perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] tidak lagi diberikan secara eksklusif kepada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Sebaliknya, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ia akan dibuka kepada mana-mana pihak yang berkelayakan dan memenuhi syarat-syarat ditetapkan selepas konsesi semasa kepada Puspakom tamat tempoh pada 31 Ogos 2024.

Jelas beliau, perkara itu telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 17 Mac lalu.

Proses pelawaan kepada pihak-pihak yang berminat, tambah Loke dijangka bermula selewat-lewatnya dalam suku pertama tahun 2024.

“Ketetapan ini bermakna pihak Puspakom tidak lagi akan menjadi penyedia tunggal perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula pada 1 September 2024.

“Bagi melaksanakan keputusan ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama JPJ akan membangunkan syarat-syarat kelayakan, peraturan pengoperasian, skop perkhidmatan, penetapan lokasi pemeriksaan dan garis panduan bagi pihak-pihak lain yang berminat menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bermotor,” katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Ahli Parlimen Seremban itu menambah, Jemaah Menteri juga bersetuju melanjutkan perjanjian konsesi Puspakom selama 15 tahun lagi, berkuat kuasa 1 September 2024.

Mengulas lanjut, Loke berkata pihak JPJ akan secara berterusan mengaudit dan memantau semua pihak yang menyedia perkhidmatan tersebut bagi memastikan pematuhan, kualiti serta integriti pemeriksaan.

MOT juga, ujar Loke akan memastikan bahawa pembukaan pemeriksaan berkala kepada pihak-pihak lain tidak menyumbang kepada elemen persaingan tidak sihat.

“MOT sedang dalam proses memuktamadkan semua syarat permohonan, pengoperasian dan dokumen tawaran berkaitan penyediaan perkhidmatan pemekriksaan berkala oleh pihak-pihak yang berminat,” kata Loke.

Beliau bagaimanapun memaklumkan setakat ini, MOT belum menetapkan berapa banyak syarikat yang akan memenuhi kelayakan untuk menyediakan perkhidmatan tersebut.

“Kita belum tahu lagi berapa syarikat, sekarang ini monopoli maksudnya satu syarikat sahaja.

“Selepas konsesi ini (Puspakom) tamat, dia tak jadi monopoli, boleh jadi dua... boleh jadi tiga (penyedia perkhidmatan).

“Tetapi ia terpulang sebab kita kena lihat ada tak syarikat swasta yang berminat. Sebab pelbagai syarat akan dikenakan dan pelbagai pelaburan termasuk peralatan diperlukan.

“Kerajaan tidak akan membelanjakan apa-apa untuk membina sistem mereka,” kata Loke.

Pada 2009, kerajaan melanjutkan perjanjian konsesi Puspakom selama 15 tahun.