BeritaTerkini ASEAN25: Tarian spontan Trump raih lebih 50 juta tontonan, Air Force One curi tumpuan

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, tiba di Malaysia pada Ahad bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, dalam suasana ceria apabila disambut mesra oleh PM Anwar dan sekumpulan penari tradisional Melayu yang berwarna-warni. - fotoBERNAMA
SEPANG: Lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan mencuri perhatian rakyat apabila beliau menunjukkan sisi ceria dan spontan yang jarang dilihat dalam acara rasmi.
Ringkasan AI
- Lawatan Presiden AS Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 turut menarik minat peminat penerbangan yang berkumpul sejak awal pagi untuk menyaksikan Air Force One mendarat dan berlepas di KLIA.
- Pelajar dan jurugambar amatur menyifatkan kehadiran pesawat ikonik itu sebagai detik bersejarah yang jarang berlaku, tanpa mengaitkannya dengan politik tetapi sebagai minat terhadap dunia penerbangan dan diplomasi.
- Puluhan peminat pesawat berkumpul di sekitar Kompleks Bunga Raya dengan kelengkapan fotografi untuk merakamkan detik unik itu, menjadikan lawatan Trump bukan sahaja signifikan dari segi diplomatik, tetapi juga budaya dan komuniti.
Aksi beliau yang menyerupai gerakan "hand shuffle" ala twist perlahan itu bukan sahaja mencuit hati Anwar, malah Perdana Menteri turut menyertai tarian tersebut dengan gaya ringkas, mencetuskan detik mesra yang tular di seluruh dunia.
Rakaman video detik bersejarah itu, dimuat naik oleh Pembantu Khas dan Penasihat Komunikasi Presiden, Margo Martin, meraih lebih sejuta tanda suka di Instagram, 21.5 juta tontonan di Facebook dan 9.3 juta di TikTok yang mana kapsyen berbunyi Trump is the leader of the world and the king of social media mengukuhkan lagi pengaruh digital beliau.
Trump turut menunjukkan penghargaan kepada rakyat Malaysia apabila beliau mengambil dan mengibarkan Jalur Gemilang serta bendera Amerika Syarikat yang dihulurkan oleh petugas lapangan, mencerminkan semangat diplomatik yang erat antara kedua-dua negara.
Lebih istimewa, satu lagi momen di luar jangka apabila Trump melanggar sedikit protokol keselamatan apabila mengundang Anwar menaiki kenderaan rasmi presiden, “The Beast”, menuju ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), lokasi penganjuran sidang kemuncak.
Lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia bukan sahaja mencatat detik diplomatik penting, malah mencetuskan fenomena luar biasa dalam kalangan peminat penerbangan tanah air.
Ketibaan pesawat rasmi Presiden AS, Air Force One di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam disambut bukan sahaja oleh pemimpin negara, tetapi juga puluhan peminat pesawat yang berkumpul sejak awal pagi untuk merakamkan detik bersejarah itu.
Sebilangan besar kumpulan peminat pesawat, lengkap dengan kamera beresolusi tinggi, tripod dan lensa telefoto turut berkumpul di pagar lapangan terbang di bawah terik mentari pagi menunggu dengan penuh sabar untuk menyaksikan sendiri pesawat ikonik biru putih itu mendarat dan berlepas, satu pemandangan yang amat jarang berlaku di Malaysia.
Salah seorang pengunjung dari Bangi yang hanya mahu dikenali sebagai Z berkata dia dan rakan-rakannya tiba seawal 6.30 pagi untuk mendapatkan sudut terbaik bagi merakamkan detik ketibaan dan keberangkatan Air Force One.
“Sangat jarang berlaku sebenarnya. Beliau antara hanya tiga presiden AS yang datang ke Malaysia. Masing-masing sibuk mengambil gambar. Ia adalah momen bersejarah. Anda tidak dapat melihat Air Force One setiap hari,” katanya sambil menunjukkan beberapa rakaman yang berjaya diambil.
Bagi Z dan rakan-rakannya, kehadiran Trump bukan soal politik, tetapi peluang menyaksikan gabungan unik antara dunia penerbangan, diplomasi dan sejarah.
Lawatan Trump ke Malaysia bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, tetapi turut meninggalkan kesan mendalam kepada rakyat, dari peminat diplomasi hingga pencinta dunia penerbangan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

