Muhyiddin persoal sambutan terhadap Trump di KLIA

Muhyiddin menyifatkan sambutan tersebut sebagai keterlaluan dan menimbulkan persoalan besar tentang prinsip diplomasi Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memandang serius terhadap sambutan luar biasa yang diberikan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, semasa ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Dalam kenyataan media yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, Muhyiddin menyifatkan sambutan tersebut sebagai keterlaluan dan menimbulkan persoalan besar tentang prinsip diplomasi Malaysia.
“Malaysia kini menilai maruah diplomatik berdasarkan status tetamu, bukan prinsip kemanusiaan?” soal beliau, mengulas suasana meriah ketika menyambut ketibaan pemimpin negara Uncle Sam itu.
Menurutnya, tindakan itu amat tidak wajar, khususnya ketika rakyat Palestin sedang berdepan serangan berterusan di Gaza.
“Sambutan sedemikian memberi gambaran seolah-olah Malaysia begitu teruja meraikan kedatangan tokoh yang secara terbuka bersekongkol dengan rejim Zionis Israel melakukan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa Perdana Menteri sebelum ini sering lantang mengutuk kekejaman Israel, namun tindakan itu kelihatan bercanggah dengan sikapnya ketika menerima pemimpin yang didakwa menyokong dasar luar pro-Israel.
“Trump ialah simbol keangkuhan dasar luar Amerika Syarikat yang melindungi kekejaman rejim Zionis Israel. Menyambut tokoh seperti ini dengan keghairahan melampau adalah amat memalukan Malaysia,” ujar Muhyiddin.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

