Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata ia bagi memastikan kesemua empangan berkenaan dapat menampung jumlah hujan yang banyak.
"Kalau ikut rekod kita pada Mac tahun ini, (meskipun) taburan hujan yang tinggi (ketika itu), empangan kita dalam keadaan terkawal dan limpahan juga terkawal.
"... kita jangkakan monsun pada tahun ini tak begitu kritikal berbanding sebelum ini dan insya-Allah akan terkawal. Kita sentiasa memantau empangan-empangan ini, ada yang di bawah pemantauan Ranhill SAJ, ada di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berkata kerajaan Johor juga sentiasa mengadakan mesyuarat berkala dengan pihak berkaitan bagi melihat prestasi loji dan empangan di seluruh negeri itu.
Terdapat 17 empangan di Johor dengan 10 daripadanya diselia Ranhill SAJ, empat oleh JPS dan tiga di bawah Badan Kawalselia Air Negeri Johor (BAKAJ).
Mohamad Fazli berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai prestasi empangan, sama ada mampu menampung jumlah hujan yang banyak susulan musim hujan lebat.
Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records kepada Ranhill SAJ atas kejayaan operator air berkenaan menjadi yang pertama di Malaysia memiliki persijilan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) bagi 44 loji rawatan air di negeri ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Muhamad Faizal Aliar berkata pensijilan HACCP berkenaan sekali gus dapat meningkatkan keyakinan semua pengguna air di negeri ini bahawa air yang dibekalkan adalah benar-benar selamat untuk digunakan dan berkualiti tinggi.
-- BERNAMA