KUALA LUMPUR: Lima universiti tempatan bakal menjadi perintis untuk platform perkongsian data mentah di bawah Akademi Sains Malaysia, iaitu Malaysia Open Science Platform (MOSP).

Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, inisiatif sains terbuka seperti itu dilihat turut diamalkan di negara-negara maju seperti Australia dan Jepun.

Melalui inisiatif tersebut, Ahli Parlimen Tenggara itu berkata, MOSTI mempunyai aspirasi untuk menggalakkan perkongsian data terbuka bagi pembangunan teknologi melalui R&D&C&I, dalam kalangan penyelidik, pemain industri dan masyarakat sivil.

Beliau berkata, lima universiti tersebut ialah Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

"Sains terbuka akan membolehkan penyelesaian masalah yang pantas menerusi jalinan kerjasama dan inovasi terbuka.

“Apabila penyelidikan yang dijalankan oleh para penyelidik dapat ditukarkan menjadi satu produk yang boleh dikomersialkan, ini sekaligus boleh menyokong untuk mencapai perbelanjaan kasar R&D (GERD) kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 2.5% seperti sasaran di dalam Rancangan Malaysia ke-12"

“Menerusi MOSP, pihak industri dapat mengurangkan perbelanjaan penyelidikan, dan para penyelidik tempatan akan dapat meningkatkan kebolehupayaan data penyelidikan mereka ditukar menjadi satu inovasi,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media, selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Projek Rintis MOSP, di ibu negara, pada Khamis.


Dalam pada itu, Dr Adham memahami isu keselamatan dan keterbukaan akan menjadi satu kerisauan bagi para penyelidik.

Justeru, jelas beliau, data mentah penyelidikan yang mempunyai sensitiviti tinggi seperti bertujuan untuk permohonan harta intelek atau berkenaan keselamatan negara, tidak sewenang-wenangnya dikongsi.

“Satu garis panduan sains terbuka untuk penyelidikan menggunakan dana awam telah dihasilkan oleh Akademi Sains Malaysia untuk membantu pemilik data berkongsi data penyelidikan mereka dengan lebih selamat.

“MOSTI juga ingin menyeru agar pemberi dana serta institut pengajian dan penyelidikan untuk memperkenalkan polisi dan garis panduan yang menyokong perkongsian data mentah penyelidikan. Dengan pendekatan ini, kita akan dapat menjadikan data penyelidikan sebagai aset negara,” katanya lagi

Dr Adham berkata, kerjasama yang dijalankan tidak terhad kepada kerjasama dalam negara semata-mata, sebaliknya, akan turut menyumbang pada keterlihatan penyelidik negara.

Tambahnya lagi, nilai teras sains terbuka menekankan kualiti dan integriti, kebaikan bersama untuk masyarakat, ekuiti dan kesaksamaan serta kepelbagaian dan keterangkuman.

“Inilah yang sepatutnya menjadi prinsip yang diguna pakai oleh komuniti saintifik negara,” ujar Dr Adham.