KUALA LUMPUR: Pelancaran Platform Sains Terbuka Malaysia (MOSP) bertujuan merapatkan jurang antara penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan sekali gus meningkatkan keupayaan inovasi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Malaysia mampu mempercepat penyelidikan dan penyelesaian kepada pelbagai masalah menerusi platform terbaharu itu.

Menurutnya, MOSP juga boleh menjimatkan sumber dengan mengurangkan pertindihan dan pembiayaan semula projek penyelidikan yang serupa.

“MOSP merupakan satu peristiwa penting untuk penyelidikan Malaysia dan komuniti inovasi.

“MOSP dijangka dapat merapatkan jurang antara penyelidikan, inovasi dan pengkomersilan dengan tujuan mempertingkat keupayaan inovasi.

“Saya yakin sains terbuka akan menjadi perkara penting blok bangunan dalam ekosistem R&D (penyelidikan dan pembangunan) yang akan membuka masa depan baharu bagi landskap penyelidikan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Pelancaran MOSP di Kuala Lumpur pada Selasa.

MOSP yang boleh diakses melalui mosp.gov.my adalah platform perkongsian data penyelidikan yang dimulakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Fadillah berkata, MOSP berusaha meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam sains terbuka dan inovasi yang boleh menyumbang secara positif kepada pembangunan keseluruhan dan daya saing negara dalam ekonomi global.

Menurutnya, melalui MOSP, sebanyak 10 bidang penyelidikan dipamerkan pada platform yang merangkumi sains biologi, kimia dan matematik; kejuruteraan fizik dan sains bahan dan veterinar pertanian dan sains makanan.

Antara bidang penyelidikan lain ialah sains komputer, teknologi maklumat dan telekomunikasi; perubatan dan sains kesihatan; persekitaran iklim dan biodiversiti serta tenaga.

Dalam pada itu, semasa sidang media selepas program, Fadillah berkata menerusi MOSP, komuniti penyelidik, ahli akademik dan pemain industri boleh berkongsi dan bekerjasama untuk meningkatkan pembangunan inovasi dan kreativiti.

Menurutnya, beliau optimis inovasi dalam negara dapat digalakkan dan dipercepat menerusi platform itu.

“Sudah pasti sebab ia adalah kolaborasi antara penyelidik akademik, pemain industri, semuanya boleh terlibat dalam sistem ini.

“Mereka boleh memberi pandangan, memberi input dan akhirnya kita dapat mempercepatkan inovasi dan juga segala kreativiti terutama dalam bidang sains tapi ada 10 bidang utama yang kita fokuskan,” ujarnya.