KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) membawa robot humanoid Nexora dan Robot Kancil ke Hospital Rehabilitasi Cheras hari ini bagi memberi peluang kepada pesakit kanak-kanak serta remaja meneroka dunia sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) secara interaktif menerusi program MOSTI Care.
MOSTI dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, program yang berlangsung di Sekolah Dalam Hospital (SDH), Wad 2A Pediatrik itu turut memberi peluang kepada pesakit menyertai pelbagai aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan sepanjang menjalani rawatan serta rehabilitasi.
“Membina roda Ferris, memasang kereta magnet dan melihat robot humanoid beraksi antara pengalaman yang dibawakan kepada pesakit kanak-kanak dan remaja di Hospital Rehabilitasi Cheras menerusi program MOSTI Care hari ini.
“Menerusi sesi pemasangan kit STEM, mereka berpeluang membina model roda Ferris, kereta magnet atau robot mini. Pemilihan kit disesuaikan mengikut umur dan keupayaan masing-masing bagi memastikan setiap daripada mereka dapat mengambil bahagian mengikut kemampuan,” menurut kenyataan itu.
Program berkenaan menyasarkan penyertaan antara 20 hingga 40 pesakit berumur enam hingga 17 tahun dengan semua aktiviti dijalankan secara duduk serta boleh dibantu oleh penjaga atau petugas klinikal bagi memastikan keselesaan dan keselamatan mereka.
Program berkenaan dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Datin Safida Zalma Mohd Piah; Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI MOSTI, Abdullah Daud; Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) MOSTI dan Ida Semurni Abdullah Ali yang mewakili Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT).
SDH Hospital Rehabilitasi Cheras mula beroperasi pada 5 Sept 2024 bagi membolehkan pesakit berumur lima hingga 18 tahun meneruskan pembelajaran ketika menjalani rawatan dan rehabilitasi.
Antara murid yang mengikuti pembelajaran di SDH ialah pesakit palsi serebrum, kecederaan otak, kecederaan saraf tunjang dan gangguan neurologi dengan tempoh rehabilitasi lazimnya sekurang-kurangnya dua minggu manakala tempoh paling lama pernah mencecah enam bulan.
Menurut MOSTI, inisiatif MOSTI Care adalah usaha kementerian untuk memperluas pembudayaan sains dan teknologi secara inklusif agar peluang mengenali serta meneroka STEM dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak dan remaja yang sedang menjalani rawatan di hospital.
-- BERNAMA