MALAYSIA
MOSTI beri kerjasama penuh siasatan insiden helikopter terhempas

Detik cemas ketika helikopter PDRM yang terlibat dalam kemalangan ketika melakukan simulasi lintas hormat sempena program MITSATOM 2025 berhampiran Sungai Pulai, pada Khamis. - Gambar Bernama
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan kemalangan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sungai Pulai, Gelang Patah, pagi semalam.
MOSTI memaklumkan dalam kenyataan malam tadi, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kementerian komited untuk memastikan semua aspek keselamatan diteliti secara menyeluruh.
"MOSTI komited memberikan kerjasama penuh kepada siasatan yang dijalankan serta memastikan semua aspek keselamatan diteliti secara menyeluruh," menurut kenyataan itu.
Insiden berlaku kira-kira 10.15 pagi berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM) 2025 melibatkan Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.MOSTI berkata, pasukan penyelamat di lokasi bertindak pantas menyelamatkan kesemua lima kru helikopter yang kini menjalani rawatan.
Kementerian itu turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menyelamat.
"Kementerian akan terus memantau perkembangan situasi ini dan akan memaklumkan sebarang maklumat lanjut dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.
Penganjuran MITSATOM kali ini bersempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025 dengan Atom Malaysia menggalas peranan sebagai Pengerusi Rangkaian Badan Kawal Selia ASEAN mengenai Tenaga Atom (ASEANTOM) di bawah Pelan Strategik Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC).
Latihan itu bertujuan menguji keberkesanan pengesanan dan tindak balas negara anggota ASEAN dalam menangani kejadian keselamatan nuklear membabitkan penyeludupan bahan radioaktif atau nuklear rentas sempadan darat Malaysia-Thailand, Malaysia-Singapura serta sempadan laut Malaysia-Indonesia.
Terdahulu Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, dua mangsa kritikal dan sedang mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah, di sini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami