SEPANG: Kementerian Pengangkutan (MoT) memantau secara teliti kemajuan projek aerotren Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan berharap akan siap sebelum akhir tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, projek berkenaan sedang dilaksanakan memandangkan kontrak itu telah dirundingkan semula dan konsortium yang menjalankan projek itu telah ditubuhkan.

"Kami sedang memantau kemajuannya dan mahu mereka menyiapkan projek ini. Sasaran kami adalah sebelum akhir tahun ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Loke menyaksikan majlis memeterai perjanjian antara kerajaan dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pembuat gerabak kereta api Perancis, Alstom Transport Systems (Malaysia) Sdn Bhd dilaporkan telah dilantik sebagai pembuat peralatan tulen bagi projek itu dan turut bertindak sebagai peneraju penyelarasan projek.

Kerajaan Malaysia menerusi MoT dan MAHB hari ini memeterai perjanjian operasi baharu selama 45 tahun sehingga 11 Feb 2069.

Menerusi perjanjian tersebut, pengendali lapangan terbang itu akan meneruskan peranannya mengendali, mengurus, menyenggara dan membangunkan 39 lapangan terbang dan lapangan terbangan landasan pendek (STOLPorts) di seluruh negara.

-- BERNAMA