KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melancarkan Hari Kraf Kebangsaan 2023 pada Ahad.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, menerusi program selama 13 hari itu, MOTAC mensasarkan peningkatan jualan produk kraf sehingga RM16 juta sepanjang program berlangsung.

"Industri kraf terus menunjukkan perkembangan positif dalam usaha untuk bangkit semula daripada kesan pandemik COVID-19. Pada tahun 2022, jualan produk kraf meningkat 44.4 peratus berbanding tahun 2021.

"Diharapkan pada tahun 2023 ini, jualan produk kraf akan meningkat kepada satu nilai yang lebih besar bagi menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi negara selaras dengan aspirasi Malaysia Madani," jelasnya.

Jelas King Sing, MOTAC menerusi Kraftangan Malaysia juga akan memainkan peranan seiring matlamat nasional Malaysia Madani bersandarkan aspek membasmi kemiskinan, penstrukturan semula ekonomi dan memulih serta menjana ekonomi.

"Dalam konteks industri kraf, usaha ini digerakkan dengan membangun dan menggalakkan lebih ramai rakyat untuk menceburi dan mengusahakan kraf sebagai sumber pendapatan utama mahupun sampingan.

"Usaha ini juga mampu mewujudkan tenaga kerja baharu dan peluang pekerjaan secara inklusif kepada semua golongan. Sehingga tahun 2022, bilangan tenaga kerja dalam industri kraf adalah seramai 12,108 orang. 

"Industri kraf turut dimeriahkan dengan penglibatan seramai 6,841 orang komuniti sokongan yang menjadikan populasi industri kraf di Malaysia seramai 25,840 orang," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Hari Kraf Kebangsaan 2023 di Kompleks Kraf, di ibu negara pada Ahad.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Dalam majlis itu, Dr Wan Azizah turut menyampaikan Anugerah Usahawan Kraf Muda kepada Zulhelmy Hamdan dari Ezryhelmy Enterprise manakala Anugerah Usahawan Kraf 2023 ialah Muhamad Isa Saad dari KWM Craft.