IPOH: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak pernah menganaktirikan mana-mana negeri termasuk negeri di bawah pentadbiran pembangkang dalam menyalurkan sebarang peruntukan bagi aktiviti pelancongan.

Timbalan Menterinya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata pihak kementerian telah mengadakan pelbagai sesi libat urus dengan memberi peluang kepada kesemua wakil kerajaan negeri mengutarakan isu berkaitan sektor pelancongan di negeri masing-masing.

"Inilah peluang sebenarnya untuk mereka (wakil kerajaan negeri) mengutarakan apa sebenarnya kehendak mereka.

"Malah, kita sentiasa menerima dengan hati dan pintu terbuka sebarang kerjasama ataupun sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan sektor pelancongan dan kebudayaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tasik Cermin 2 sempena Tahun Melawat Perak 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Majuperak Holdings Berhad Syed Agil Syed Hashim.

Media hari ini melaporkan Kerajaan Perlis kecewa apabila tidak menerima maklum balas berhubung peruntukan daripada MOTAC untuk tujuan naik taraf lokasi pelancongan khususnya sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing juga tidak memberi sebarang jawapan berhubung permohonan kerajaan negeri untuk me-ngadakan pertemuan bagi membincangkan mengenai per-kara itu sebelum ini.

Menurut Mohd Shukri, kerajaan negeri memohon peruntukan berjumlah RM4 juta bagi menaik taraf lapan lokasi pelancongan di Perlis untuk memberi ke-selesaan buat pe-ngunjung sempena TMPs 2024-2025.

Mengulas lanjut, Khairul Firdaus berkata mungkin berlaku sedikit salah faham antara kerajaan Perlis dengan MOTAC berhubung isu peruntukan berkenaan.

"Kita (MOTAC) ada menyalurkan peruntukan pembangunan kepada Perlis dan kita juga mengadakan pelbagai aktiviti untuk merancakkan sektor pelancongan di negeri itu.

"Mungkin ada sedikit salah faham, tetapi tidak perlulah kita mahu bergaduh atau bertengkar berkaitan perkara ini kerana ia tidak membawa manfaat," katanya.

Terdahulu, Khairul Firdaus dalam ucapannya berkata Perak mempunyai pelbagai destinasi dan produk yang hebat hingga menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

"Saya sangat yakin dengan usaha kerajaan Perak dalam merancakkan industri pelancongan negeri melalui perancangan dan strategi pelaksanaan yang tepat dan berkesan.

"Sebagai contoh, keindahan alam semula jadi di Tasik Cermin yang dikelilingi batu kapur, ia mampu menjadi daya tarikan utama yang dapat mengukuhkan kedudukan negara kita dalam arena pelancongan global," katanya.

-- BERNAMA