Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyifatkan tindakan Pakatan Rakyat menyaman Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR ) dan meminta mahkamah mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya Umum ke13 ( PRU13 ) tidak sah sebagai keterlaluan dan tidak wajar.

Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad berkata tindakan Pakatan Rakyat itu tidak munasabah dan mengambarkan sikap mereka yang tidak konsisten.

Katanya, ada pihak dalam Pakatan Rakyat dilihat menerima keputusan PRU13 tetapi ada pihak yang dilihat seolah-olah sengaja tidak mahu menerima keputusan yang tekah dibuat rakyat.

"Apa yang mereka (Pakatan Rakyat) lakukan ini keterlaluan dan cuba untuk menggugat kestabilan politik negara serta mencerminkan sikap mereka yang tidak konsisten terhadap keputusan PRU3.

"Kalau kita lihat dalam Pakatan ni, majoriti dalam PAS dilihat menerima keputusan PRU13 tetapi dalam PKR dan DAP pula cuba untuk tidak menerima keputusan PRU13.

"Jika mereka tidak menerima keputusan PRU13, kenapa mereka sertai Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut? Kalau tidak boleh dipercayai, pujuk PAS supaya jangan bertanding. Jadi ini gambaran bahawa tindakan mereka bawa ke mahkamah ini keterlaluan dan tidak munasabah," kata Shahrir ketika ditemui di lobi parlimen.

Beliau juga menegaskan Pakatan Rakyat sepatutnya menunggu terlebih dahulu semua keputusan petisyen pilihan raya yang mereka failkan diumumkan sebelum membuat sebarang tindakan lain.

Shahrir juga berkata, jumlah petisyen pilihan raya yang kecil difailkan oleh Pakatan Rakyat mengambarkan tindakan mereka tidak munasabah.

"Kalau jumlah petisyen yang mereka failkan lebih dari separuh jumlah kerusi parlimen saja pun dah kira masuk akal untuk mereka bawa kes ini ke mahkamah dan minta keputusan dibatalkan.

"Tetapi jumlah petisyen yang difailkan untuk kerusi parlimen dan Dun amat kecil, jadi ini sekali lagi memberi gambaran tindakan tidak munasabah mereka," kata ahli parlimen Johor Bahru itu.

Datuk Bung Mokhtar RadenSementara itu, timbalan pengerusi BNBBC, Datuk Bung Mokhtar Raden menganggap tindakan Pakatan Rakyat itu tidak wajar.

beliau juga berpendapat keputusan yang dibuat oleh pemimpin Pakatan Rakyat itu menunjukkan mereka kecewa dan tidak dapat menerima kekalahan.

"Ini satu tindakan yang tidak wajar dan mengambarkan bahawa Pakatan sangat kecewa serta tidak tahu menghoramti keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.

"Mereka sepatutnya memikirkan apakah sumbangan yang boleh dibuat untuk rakyat dan bersama bekerja untuk kemajuan negara bukan menggangu kestabilan politik negara," kata ahli parlimen Kinabatangan itu.

Datuk Shamsul Anuar NasarahBagi Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah biarpun menganggap tindakan Pakatan Rakyat itu keterlaluan tetapi tetap berpendapat mereka berhak untuk membawa kes itu ke mahkamah.

Namun katanya, Pakatan Rakyat perlu bersedia menerima apa saja keputsan yang dibuat oleh mahkamah dan tidak membuat tuduhan lain kerana kecewa.

"Mereka berhak untuk bawa kes ini ke mahkamah, ini negara demokrasi tetapi mereka juga perlu menerima apa saja keputusan mahkamah.

"Jangan pula kalau kalah di mahakamah kata badan perundangan negara tidak boleh dipakai separti apa yang mereka tuduh terhadap SPR," katanya.

Shamsul juga berpendapat ini kali pertama dalam sejarah negara, keputusan pilihan raya di bawa ke mahkamah.

Beliau seterusnya menegaskan jika benar seperti dakwaan Pakatan Rakyat, BN sepatutnya memperolehi keputusan dengan jumlah yang lebih besar dan mendapat dua pertiga majoriti.

"Tetapi apa yang berlaku, BN tidak dapat dua pertiga dan keputusan kali ini menurun berbanding 2008. Jadi dimana yang dikatakan SPR jadi alat BN? Kalau jadi alat BN, sepatutnya sudah menang besar," katanya lagi.

Tegas beliau, keputusan PRU13 yang lalu bukti bahawa SPR menjalankan tugas mereka dengan telus dan adil.