KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan Projek Laluan Lingkaran Transit Aliran Berkapasiti Tinggi 3 (MRT 3) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Datuk Mohd Zarif Hashim berkata sebagai pemaju projek dan pemilik aset projek Laluan Lingkaran MRT 3, pihaknya akan memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan termasuk kontraktor bumiputera bagi mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan untuk Keluarga Malaysia.

"Ini akan dicapai melalui penekanan lebih besar terhadap teknologi sistem rel tempatan, sistem binaan berindustri dan pemodelan maklumat bangunan serta peningkatan kepakaran dan kemahiran melalui pelbagai program seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MRT Corp, Laluan Lingkaran MRT3 dijangka sekitar 50 kilometer dan merupakan jajaran lingkaran sepanjang perimeter banda raya Kuala Lumpur terdiri daripada bahagian bertingkat dan bawah tanah serta mempunyai 31 stesen.

BACA: Kerajaan luluskan projek pembinaan MRT3

"Projek itu merupakan sebahagian daripada kesalinghubungan bagi Rangkaian Transit Bersepadu Lembah Klang di bawah Dasar Pengangkutan Negara dan komponen kritikal mobiliti pelbagai mod untuk masa hadapan di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040,'' katanya.

MRT Corp dimilik sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan dan ditubuhkan untuk membangunkan penyelesaian pengangkutan kereta api bandar.

-- BERNAMA