KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan pembinaan Projek Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3) yang akan menghubungkan laluan MRT1 dan MRT2 di sekitar Lembah Klang.

Projek itu sebelum ini digantung oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini berkata, keutamaan projek itu akan diberikan kepada kontraktor tempatan khususnya Bumiputera bagi menjana peluang perniagaan serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Pelaksanaan projek ini akan memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara, selaras dengan objektif kerajaan untuk memperkasa sektor perniagaan serta mewujudkan 600,000 pekerjaan pada tahun ini.

"Kerajaan telah mengambil keputusan untuk meluluskan pelaksanaan projek MRT 3 yang akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang, dengan menyediakan perkhidmatan yang bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia," katanya.

Tahun lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata projek MRT3 telah mendapat kebenaran oleh kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri.

Pelan awal MRT3 merangkumi 30 stesen, di mana 10 daripadanya ialah stesen pertukaran MRT, transit aliran ringan (LRT) dan laluan KTM Komuter.

Ismail Sabri turut mengumumkan bahawa Kabinet bersetuju memperuntukkan RM15 bilion perbelanjaan tambahan dalam tempoh tujuh tahun mulai tahun depan bagi mempertingkat dan mempercepatkan projek tebatan banjir di negara ini.

Pada masa ini, kerajaan telah memperuntukkan RM1 bilion setiap tahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 untuk projek tebatan banjir.

“Mengambil kira fenomena banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 yang serius sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk meningkatkan dan menyegerakan projek tebatan banjir dengan tambahan perbelanjaan sebanyak RM15 bilion untuk tempoh tahun 2023 sehingga 2030," katanya.

Kerajaan juga katanya, telah bersetuju untuk melaksanakan Projek Lebuhraya Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Trans Borneo yang akan melengkapkan Projek Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dijalankan di Sarawak dan Sabah.

Beliau berkata kemajuan pembinaan fasa pertama projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak melibatkan 786km telah mencapai 78 peratus.

Sementara itu, beliau berkata pembinaan fasa pertama projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah telah mencapai 52 peratus dan ia dijangka siap menjelang Oktober 2024.

“Bagi menambah baik lingkaran jalan untuk Keluarga Malaysia di Sabah, kerajaan bersetuju meneruskan pelaksanaan 19 pakej kerja tambahan di negeri ini.

“Pakej kerja tambahan itu akan melibatkan g 367 kilometer dengan tempoh pembinaan selama 5 tahun.

“Bagi Sarawak pula, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan SSLR dan Projek Lebuhraya Trans Borneo,” katanya.

Pelaksanaan projek berimpak tinggi ini ujarnya, diharap dapat merangsang pembangunan ekonomi negara, meningkatkan daya saing negara dan kesejahteraan rakyat.