MALAYSIA
MSPO-ASSC buat MoU untuk pacu permintaan minyak sawit mampan di Jepun

Johari berkata, perkongsian strategik itu mencerminkan pengiktirafan antarabangsa yang semakin melonjak terhadap MSPO. - Gambar fail Bernama
PUTRAJAYA: Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Persijilan Minyak Sawit Malaysia, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perikatan Global Jepun untuk Rantaian Bekalan Mampan (ASSC) bagi meningkatkan permintaan termasuk memperluaskan akses pasaran kepada minyak sawit yang diperakui MSPO di seluruh sektor perindustrian premium Jepun.
Menurut satu kenyataan daripada Kementerian Perladangan dan Komoditi, kerjasama itu penting dalam usaha Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan industri minyak sawit mampan negara di peringkat global.
"Perkongsian ini dijangka membuka peluang baharu dalam industri bernilai tinggi Jepun selain meningkatkan kehadiran Malaysia dalam rantaian bekalan lestari global," katanya.
Kerjasama tersebut meletakkan MSPO di tengah-tengah ekosistem perolehan mampan Jepun, yang akan menyediakan pengeluar Malaysia dengan akses langsung kepada pembeli yang mengutamakan sumber yang bertanggungjawab.Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata: "Perkongsian strategik ini menandakan satu peristiwa penting dalam usaha Malaysia untuk memperjuangkan minyak sawit yang mampan di pentas global. Ia mencerminkan pengiktirafan antarabangsa yang semakin melonjak terhadap MSPO sebagai pensijilan yang boleh dipercayai dan inklusif yang memenuhi standard sosial dan alam sekitar yang tertinggi.
"Pada terasnya, MSPO bukan sekadar tentang pasaran, ia adalah mengenai individu. Kerjasama ini membuka peluang kepada pekebun kecil, memperkasakan pekerja kami dan menaikkan taraf komuniti luar bandar dengan memastikan bahawa minyak sawit mereka dapat mencapai nilai terbaik seperti pasaran yang menuntut kemapanan seperti Jepun," katanya.
Perkongsian ini terbina dari hasil penilaian impak hak asasi manusia yang komprehensif (HRIA) yang dijalankan pada 2023 oleh Ajinomoto Co Inc dan ASSC yang mengesahkan rangka kerja MSPO sebagai teguh, inklusif serta sejajar dengan jangkaan antarabangsa, terutamanya dalam menjamin hak-hak kehidupan pihak berkepentingan yang kecil serta perlindungan kepada pekerja.
"ASSC akan berfungsi sebagai rakan kongsi pengetahuan dan advokasi utama bagi MSPO di Jepun, membantu membina kesedaran industri, mempengaruhi keputusan perolehan selain memacu penggunaan minyak kelapa sawit yang diperakui dalam salah satu pasaran yang amat mementingkan kualiti di dunia," kata kenyataan itu lagi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami