Skip to main content

Malaysia

MTL: Peruntukan lebih RM23 juta selenggara saliran di Kelantan

Dr Izani berkata pihak PBT turut melaksanakan langkah pencegahan awal, termasuk mengenal pasti dan menyelenggara longkang serta parit yang berisiko menyebabkan banjir. - Gambar fail/Bernama
Dr Izani berkata pihak PBT turut melaksanakan langkah pencegahan awal, termasuk mengenal pasti dan menyelenggara longkang serta parit yang berisiko menyebabkan banjir. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KOTA BHARU: Peruntukan lebih RM23 juta disalurkan bagi penyelenggaraan sistem saliran di seluruh negeri sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan Datuk Dr Izani Husin.

Beliau berkata daripada jumlah itu, RM18 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan bagi melaksanakan 174 kerja di semua jajahan di bawah Projek Pemuliharaan Sungai Untuk Mengurangkan Risiko Banjir.

Dr Izani berkata kerja-kerja berkenaan kini berada pada peringkat pelaksanaan dan hampir siap sepenuhnya.

Advertisement

“Selain itu, JPS Kelantan turut melaksanakan 82 kerja menerusi peruntukan pembangunan negeri berjumlah RM5.27 juta, meliputi rancangan pengairan dan saliran, pemeliharaan sungai, pembinaan serta naik taraf kolam takungan banjir dan sistem saliran bandar, saliran mesra alam serta pembaikan tebing anak sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nor Asilah Mohamed Zin (PAS-Limbongan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Advertisement

Dr Izani berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) turut melaksanakan langkah pencegahan awal, termasuk mengenal pasti dan menyelenggara longkang serta parit yang berisiko menyebabkan banjir.

Katanya, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah mengenal pasti lokasi berisiko pada 2025 dan melaksanakan kerja penyelenggaraan bagi memastikan sistem perparitan berfungsi dengan baik.

“Bagi tahun ini, MPKB-BRI meneruskan pendekatan sama melalui pemantauan berkala serta kerja pembersihan dan penyelenggaraan, khususnya di lokasi yang memerlukan tindakan segera,” katanya.

Beliau berkata Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI) pula menyelaras tindakan bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), JPS dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi membersihkan sampah, lumpur, mendapan serta halangan yang boleh menjejaskan kelancaran aliran air.

Menjawab soalan tambahan Mohd Rusli Abdullah (PAS-Wakaf Bharu) mengenai keperluan menilai semula kapasiti sistem saliran susulan perubahan iklim, hujan ekstrem dan pembangunan semasa, Dr Izani berkata peruntukan sedia ada lebih tertumpu kepada kerja penyelenggaraan sistem saliran yang telah dibangunkan.

Beliau berkata jabatan berkaitan sentiasa memohon peningkatan peruntukan, namun kekangan kewangan menyebabkan jumlah yang diluluskan masih terhad.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement