Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan bersifat jelik dalam ucapannya yang menggesa agar Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Zaid, 64, selaku orang kena saman (OKS), mengaku tidak bersalah dan kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh.

Dia yang juga bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan (KITA) didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi internet dan secara sedar membuat dan memulakan pernyataan yang bersifat jelik di laman http://www.zaid.my bertajuk, 'Rally Behind Tun Dr Mahathir Mohamad' dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman di sini pada 3.20 petang 3 Sept lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 2 Sept lepas, Zaid memberi ucapan di Kelab Diraja Selangor, di sini dan kemudian memuat naik ucapan itu di dalam blog beliau pada keesokannya.

Ucapan itu juga dibacakan di dalam mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam M. Puravalen yang mewakili Zaid, memohon supaya mahkamah tidak mengenakan sebarang jaminan atas alasan pertuduhan terhadap anak guamnya merupakan orang kena saman dan bukannya kes jenayah.

Puravalen berkata Zaid juga merupakan individu yang dikenali masyarakat dan mustahil untuk melarikan diri, dan memberikan kerjasama kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan.

Hakim Jagjit Singh membenarkan permohonan peguam itu supaya anak guamnya tidak dikenakan sebarang jaminan dan menetapkan 22 Jan tahun depan untuk pengurusan kes.

Puravalen turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan bantahan awal mengenai pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya itu atas alasan pertuduhan itu adalah tidak jelas.

"Mana perkataan dalam kenyataan itu yang dimaksudkan 'jelik?" tanya peguam berkenaan.

Mahkamah menetapkan tarikh sama (22 Jan) untuk mendengar bantahan awal itu.

Zaid ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beliau berterima kasih kepada mahkamah kerana tidak meletakkan sebarang wang jaminan terhadapnya.

Zaid turut berharap perbicaraan kesnya dapat diselesaikan secepat mungkin.