Meneruskan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) langkah baik untuk mengembangkan peperiksaan Inggeris setanding peringkat antarabangsa yang dimiliki Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM), Kuala Lumpur, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berpendapat, keputusannya juga menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun sekali gus membuktikan mutu bahasa Inggeris pelajar sendiri.

"Setakat maklumat yang saya ada prestasi MUET saban tahun semakin hari semakin meningkat.

"Kerana mereka tahu bahawa mereka harus masuk dengan Band sekurang kurangnya Band 2 dan lulus Band 3, atau tamat Band 3. Atau program tertentu masuk Band 3 dan keluar Band 4. Jadi itu yang telah ditetapkan, malah ada program profesional masuk Band 4 sebenarnya.

"Jadi dengan itu, masyarakat terutama pelajar-pelajar kita sudah mula memberi perhatian kepada bahasa Inggeris dan MUET, malah mereka sudah buat persediaan awal kalau hendak memohon masuk universiti," katanya semasa dihubungi di sini, pada Ahad.

BACA: Maszlee tolak cadangan hapuskan MUET

Menteri Pendidikan Maszlee Malik menolak cadangan menghapuskan MUET dan memasukkannya dalam modul peperiksaan sekolah menengah kerana ia akan membebankan pelajar.

Katanya, MUET adalah peperiksaan kelayakan, berbeza dengan peperiksaan sekolah, justeru ia tidak boleh dihapuskan.

Dalam pada itu kata Dr. Mohamed, MUET juga keperluan untuk meneruskan pengajian di universiti awam.

"Kita kalau hendak belajar di luar negara, penajaan semakin kurang, hendak belajar di universiti persendirian, biayanya sangat tinggi. Mereka mungkin tidak terjangkau, hasilnya mereka terus belajar di universiti awam.

"Dengan itu mereka mahu tidak mahu terpaksa juga mengambil MUET, universiti awam sudah pun menerima MUET sebagai peperiksaan menentukan taraf dan pencapaian bahasa Inggeris pelajar-pelajar ini.

"Kerana antara SPM dengan MUET atau tempoh masuk universiti ini ada jurangnya, sekurang-kurangnya dua tahun," jelasnya.

Tambahnya, tempoh itu menyebabkan pencapaian di peringkat SPM sudah tidak lagi sesuai digunakan untuk mengukur tahap bahasa Inggeris pelajar berkenaan.

"Jadi tentunya pencapaian di peringkat SPM mungkin sudah tidak sesuai lagi digunakan untuk mengukur tahap bahasa Inggeris mereka.

"Sebab kemungkinan mereka sudah membuat banyak penambahbaikan dan kemajuan dalam penguasaan Inggeris sesuai dengan usia yang meningkat, pengalaman yang ada dan juga peringkat yang lebih tinggi yang telah mereka lalui belajar di matriklasi, asasi atau tingkatan enam.

"Sebab itu saya percaya, secara logiknya mereka yang ambil MUET itu biasanya akan mendapat keputusan lebih baik dari keputusan SPM mereka," ujarnya.

Pada Sabtu, sebuah akhbar tempatan dalam laporan khas muka hadapan memaparkan beberapa pihak menggesa kementerian menyemak kembali syarat wajib menduduki ujian bahasa Inggeris MUET dan wajar dimasukkan dalam pembelajaran peringkat SPM.

Laporan itu menyatakan MUET tidak perlu dijadikan peperiksaan berasingan sebagai syarat wajib lulus memasuki universiti awam, kerana ia membebankan dari segi kewangan dan memberi tekanan kepada pelajar untuk lulus.

Pada tahun lepas, MUET menerima pengiktirafan Sijil Penjajaran Common European Framework Referance (CEFR) oleh Penilaian Bahasa Inggeris Cambridge United Kingdom.

Pengiktirafan itu membolehkan MUET dipasarkan ke peringkat antarabangsa.