KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu setelah mendapati keempat-empat pertuduhan tersebut adalah kabur dan tidak berasas kerana ia tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan.

"Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Muhyiddin) untuk membatalkan keempat-empat pertuduhan berkenaan. Dengan ini, pemohon dilepas dan dibebaskan," katanya.

Muhyiddin, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti tersebut.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021. 

Pada 18 April lepas, Muhyiddin, 76, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, memfailkan notis usul bagi memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lepas selain prosiding kes tersebut di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Muhammad Jamil dalam penghakiman ringkasnya berkata mahkamah mempunyai kuasa sedia ada untuk mengetepikan atau membatalkan pertuduhan serta menggantung pertuduhan secara kekal.

Hakim itu berkata empat pertuduhan terhadap Muhyiddin yang menyatakan suapan bagi sekutunya Bersatu tidak mendedahkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

"Mahkamah mendapati Muhyiddin dituduh dengan suatu kesalahan yang tidak diperuntukkan mengikut undang-undang. Keempat-empat pertuduhan itu cacat kerana tidak mendedahkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

"Pertuduhan yang tidak meletakkan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM adalah salah laksana keadilan. Empat kesalahan itu juga tidak mengandungi butir-butir cara kesalahan dilakukan sebagai mana diperuntukkan di bawah Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ)," katanya.

Hakim itu berkata pada pandangan mahkamah, kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk satu suapan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM adalah berkenaan tertuduh membuat keputusan atau mengambil tindakan berhubung suatu perkara seperti dalam kes pendakwa raya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi pertuduhan di bawah seksyen sama.

Muhammad Jamil berkata mahkamah tidak bersetuju dengan timbalan pendakwa raya (TPR) bahawa cara atau bagaimana pemohon menggunakan kedudukan tidak perlu dinyatakan dalam pertuduhan tetapi boleh dibuktikan melalui keterangan ketika perbicaraan. 

Selain empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan, Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Pendakwaan dikendalikan TPR Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Ahmad Akram Gharib dan Poh Yih Tinn manakala Muhyiddin diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Amer Hamzah Arshad, Rosli Dahlan, Datuk K. Kumaraendran dan Chetan Jethwani.

Wan Shaharuddin, yang juga Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM ketika ditemui berkata pihaknya akan memfailkan rayuan petang ini berhubung keputusan hari ini.

Ditanya mengenai tiga lagi pertuduhan dihadapi Muhyiddin, Wan Shaharuddin berkata pendakwaan akan memohon di Mahkamah Sesyen agar perbicaraan kes itu ditangguhkan semasa sebutan kes 19 Sept ini.

“Buat masa ini arahan yang kami terima ialah memohon untuk menangguhkan kes itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan,” katanya.

-- BERNAMA