KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menolak permohonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan kembali pasport antarabangsanya secara kekal kerana mahu bercuti di United Kingdom.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas mendapati bekas Perdana Menteri berusia 76 tahun itu, masih mempunyai pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Azura berkata, mahkamah berpuas hati dan memutuskan permohonan Muhyiddin untuk mengubah jaminan bon dan melepaskan pasport antarabangsa pemohon tanpa syarat seperti dalam notis permohonan adalah ditolak.

“Jika mahkamah bersetuju hujahan pemohon keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Ogos lalu yang membatalkan tiga pertuduhan predikat bawah Akta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) 2009 mewujudkan perubahan keadaan material.

“Mahkamah berpendapat pemohon perlu mengemukakan alasan yang kukuh, dengan menyatakan faktor-faktor syarat bon jaminan perlu diubah termasuk pasport antarabangsanya dilepaskan tanpa syarat,” katanya.

Pada 16 Oktober lepas, Muhyiddin memfailkan notis permohonan supaya mahkamah mengubah bon yang dikenakan terhadapnya bagi mengembalikan pasport antarabangsanya tanpa syarat.

Dalam afidavit sokongannya, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau memerlukan pasport untuk percutian keluarga di London dan pemeriksaan kesihatan di Singapura pada akhir tahun ini.

Pada 2 Oktober lepas, Muhyiddin memfailkan permohonan supaya beliau dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Muhyiddin berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas terhadap satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Pada 15 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa.

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada hari sama terhadap keputusan itu dan pendengaran rayuan ditetapkan pada 28 dan 29 Feb 2024. - Sinar Harian


BERITA LANJUT MENYUSUL