Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf secara terbuka atas ucapan beliau mengenai kematian mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang dikatakan ada 'kaitan' penghapusan subsidi gula jika keluarga Azizan tersinggung.

"Sebagai manusia, kalau kenyataan itu disalah tafsir atau dirasakan menyinggung perasaan keluarga saya mohon maaf.

"Bukan tujuan saya untuk merendah-rendahkan, atau mencemarkan nama baik Allahyarham kerana beliau adalah pemimpin yang banyak berjasa kerana saya pun banyak menziarahinya ketika beliau masih hidup," kata Muhyiddin kepada pemberita selepas menghadiri Majlis di Madrasah Mazahirul Ulum di Kampung Bukit Choras Dalam disini.

Menurut Muhyiddin, kenyataannya itu bukan ada niat yang jahat atau mengambil kesempatan untuk pilihan raya.

Sebelum itu, pada sidang media yang berlainan pada pagi tadi, PAS Kedah melahirkan kekesalan dengan dakwaan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir yang menyatakan bahawa PAS cuba mempolitikan isu ucapan Muhyiddin mengenai kematian Azizan.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata pimpinan PAS mengharapkan Mukhriz tidak melakukan perkara yang sama dengan menyokong kenyataan itu.

"Setidak-tidaknya pun beliau (Mukhriz) mewakili Timbalan Perdana Menteri tampil memohon maaf kepada ahli keluarga Allahyarham dan seluruh penduduk di DUN Sungai Limau," kata Mahfuz kepada pemberita di Markas PAS PRK DUN Sungai Limau di Bukit Besar

Beliau menambah, Mukhriz sebagai Menteri Besar harus menjaga hubungan dengan seluruh rakyat negeri Kedah kerana Mukhriz mewakili orang Kedah.