KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan kerajaan memberikan peruntukan sekurang-kurangnya RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen termasuk dari pembangkang bagi membolehkan mereka menyalurkan bantuan segera kepada mangsa banjir di kawasan masing-masing.

Mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyalurkan bantuan segera banjir berjumlah RM50 juta kepada Johor, Ahli Parlimen Pagoh itu turut mencadangkan supaya jumlah bantuan berkenaan dinaikkan.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang meluluskan peruntukan segera RM50 juta kepada Johor tetapi saya mencadangkan ia dinaikkan kepada RM100 juta kerana keadaan banjir pada kali ini amat teruk sekali," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Senada dengan Muhyiddin, Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berharap kerajaan menyediakan peruntukan lebih RM100 juta bagi membantu mangsa banjir di Johor.

"Ketika Kelantan dan Terengganu terkesan akibat banjir Januari lepas, kerajaan beri RM50 juta untuk setiap negeri.

"Johor, katakan 50,000 mangsa banjir pada kali ini dengan RM50 juta hanya dapat beri RM1,000 wang ihsan (kepada mangsa banjir)," katanya.

Aminolhuda turut memohon kerajaan menangani masalah kelewatan keperluan asas serta penghantaran makanan kepada mangsa-mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) serta memperbanyak lagi syarikat katering dalam urusan pemakanan itu.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang bangkit mencelah perbahasan Aminolhuda mencadangkan kerajaan melihat semula kualiti makanan dalam membantu mangsa banjir di PPS.

"Jangan hantar makanan basi, nasi tak masak dan sebagainya dan cepatkan urusan (penghantaran makanan)," katanya.

Dalam pada itu, Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) berkata peruntukan besar diperlukan bagi mengatasi kejadian banjir yang sering melanda negara ini.

"Saya yakin agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenal pasti lokasi hotspot ini dan boleh membuat penyediaan peruntukan khusus bagi mengurangkan impak apabila berlakunya bencana," katanya.

Selain itu, beliau berkata kerja penyelenggaraan sungai dan tali air perlu dilakukan secara berjadual dan berkala bagi mengelakkan kerugian lebih besar akibat banjir.

-- BERNAMA