KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa hari lepas.

Menurutnya, beliau telah memberi kenyataan berhubung beberapa perkara terutamanya melibatkan projek Jana Wibawa.

Menurutnya, projek itu diusahakan Kementerian Kewangan (MOF) dan dicadangkan Menteri Kewangan pada waktu itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

"Ia dicadangkan oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Zafrul pada saya. Yang saya setuju adalah kerana pada waktu COVID-19 tu, antara paling teruk terkesan adalah kontraktor-kontraktor Bumiputera.

"Kalau tak dibantu, sebahagian besar dah gulung tikar. Maka, idea itu datang dari Tengku Zafrul, disampaikan kepada saya, dan saya setuju.

"Kemudian cadangan itu dibawa kepada Kabinet, dan Kabinet luluskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Blood Donation Drive Anjuran Yayasan TSM Charity Golf di sini pada Sabtu.

Tambah Muhyiddin, beliau tidak terlibat dalam proses mempertimbangkan atau meluluskan projek itu kerana ia di bawah MOF.

"Jadi apa ada terlibat dengan saya? Tiada. Cuma menyalurkan sahaja. Adakah saya memutuskan? Tidak sama sekali.

"Yang ini antara perkara yang telah saya jelaskan dengan ada surat bukti daripada pihak KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) yang cadang.

"Ketua setiusaha saya, Datuk Marzuki yang pada waktu itu menolak…cuma sampai kepada mereka untuk minta pertimbangan.

"Saya jelaskan juga sebahagian antara lain sama ada saya kenal ke kontraktor tu semua, saya tak kenal. Tak pernah saya berjumpa dengan mereka, nama-nama syarikat pun saya tak tahu," ujarnya.