NATIONAL
Muhyiddin sekali lagi mohon pindah kes salah guna jawatan, pengubahan wang haram ke Mahkamah Tinggi

Muhyiddin didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta dan tiga pertuduhan menerima wang haram RM200 juta, berkaitan Projek Jana Wibawa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengemukakan permohonan supaya tujuh kes menyalahgunakan kedudukan dan menerima wang daripada aktiviti haram dihadapinya, dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi di sini.
Ringkasan AI
- Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon untuk memindahkan tujuh kes menyalahgunakan kedudukan dan menerima wang haram dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
- Tarikh pendengaran permohonan ditetapkan pada 16 Jun di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin, dengan pengurusan kes pada 11 Julai.
- Muhyiddin didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta dan tiga pertuduhan menerima wang haram RM200 juta, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Terdahulu, Noralis berkata pihaknya telah menyerahkan senarai saksi bagi pertuduhan pengubahan wang haram dan dokumen berkaitan kes berkenaan hari ini kepada pihak pembelaan dan perkara itu disahkan oleh Tang.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 Julai ini untuk pengurusan kes bagi mengetahui status perkembangan permohonan itu dan kehadiran Muhyiddin turut dikecualikan pada prosiding berkenaan.
Dalam permohonan difailkan 4 April lepas, Muhyiddin berkata terdapat isu-isu perundangan rumit dan kesulitan luar biasa yang dijangka timbul, khususnya berkaitan isu perlembagaan beberapa peruntukan di dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Presiden Bersatu itu berkata kes berkenaan adalah kes berkepentingan awam yang menarik perhatian masyarakat umum serta mendapat liputan media meluas dari dalam dan luar negara, selain ia tidak akan menimbulkan sebarang prejudis kepada pihak pendakwaan sekiranya permohonan itu dibenarkan.
Pada 27 April 2023, Muhyiddin memfailkan permohonan memindahkan kes dihadapinya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, namun pada 10 Julai tahun yang sama, beliau menarik balik permohonan untuk memindahkan kes selepas pihak pembelaan menghantar surat penarikan permohonan itu kepada pihak pendakwaan.
Muhyiddin, 77, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi berasingan di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya pada 7 Jan 2022 dan CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami