PUTRAJAYA: Selepas lebih tiga jam berada di pejabatnya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat meninggalkan bangunan Perdana Putra sebentar tadi.

Muhyiddin dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara berhubung peletakan jawatannya.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat khas kabinet.

Antara yang turut hadir pada mesyuarat itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Hal Ehwal Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri Pendidikan (Menteri Kanan), Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Letak jawatan? Muhyiddin menghadap Agong di Istana Negara

Pada Jumaat lalu, Muhyiddin secara tidak langsung mengakui telah kehilangan majoriti dengan menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mula menggalas tugas Perdana Menteri pada 29 Februari tahun lalu dengan membentuk Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan turut melantik menteri-menteri daripada UMNO dan Pas untuk menyertai kabinetnya.

Pentadbiran PN merupakan pemerintahan paling singkat iaitu hampir 18 bulan berbanding Pakatan Harapan sebelum ini yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke -14.

Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.