Terengganu akan berhadapan dengan situasi politik yang tidak stabil sekiranya pembangkang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dan mencetus senario 'DUN tergantung' iaitu agihan kerusi 16:16, menurut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menyeru pengundi kawasan DUN Kuala Besut melihat implikasi pilihan raya kecil berkenaan dalam konteks yang lebih besar iaitu mengenai kestabilan politik di Terengganu.

Muhyiddin juga kata ia melibatkan isu kepentingan rakyat berikutan ramai yang juga ingin mengelak daripada keadaan terumbang ambing dalam DUN Terengganu itu daripada berlaku.

“Saya tidak kata saya risau atau tidak. Saya lebih mengambil berat tentang kestabilitan negeri ini. Pastinya bila Insya-Allah BN menang politik Terengganu akan lebih stabil disebabkan kerana BN menguasai jumlah kerusi lebih besar iaitu sebelum kematian Datuk A Rahman,” katanya.

“Kalau tak begitu keadaan akan terumbang-ambing ini situatsi yang boleh diramalkan. Itu soal kepentingan rakyat ramai yang nak ellakkan itu daripada berlaku,” tambah beliau.

Muhyiddin yang juga pengarah kempen pilihanraya kecil DUN Kuala Besut, berkata demikian pada sidang media selepas selesai proses penamaan calon di Kompleks Rakan Muda di Kuala Besut.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai strategi kempen PAS pada pilihan raya kecil ini iaitu dengan mengetengahkan sasaran 16:16 iaitu bagi menyamakan jumlah kerusi BN dan pembangkang di DUN.

PRK kali ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu, Dr Rahman menang dengan majoriti 2,434 mengalahkan calon Pas Napisah Ismail.

DUN Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi dan daripada jumlah itu, 17,463 ialah pengundi Melayu, Cina 125, manakala selebihnya pengundi bangsa lain.

Ini adalah pilihan raya kecil yang kedua di Kuala Besut yang setakat ini mengulangi sejarah sama 34 tahun lalu.

Ketika itu, wakil rakyat BN kawasan itu Allahyarham Zakaria Muda meninggal dunia pada 26 Jun 1979 iaitu tarikh sama kematian Dr. A. Rahman dan pilihan raya kecilnya juga diadakan pada bulan puasa.

PRK Kuala Besut ini jadi tumpuan kerana Barisan Nasional hanya mempunyai kelebihan satu kerusi saja ke atas Pakatan Rakyat di DUN Terengganu sekarang.

Pada PRK ini BN menggunakan slogan 'Kuala Besut bertambah biru' untuk kempen manakala PAS dengan moto '16-16', merujuk kepada kedudukan kerusi DUN Terengganu andainya PAS berjaya merampas DUN Kuala Besut pada pilihan raya kecil ini.

Pada PRU13, Terengganu yang mempunyai 32 kerusi DUN kekal ditadbir BN yang menang 17 kerusi, manakala baki 15 lagi diwakili pembangkang iaitu 14 daripada PAS dan satu wakil PKR.