Majlis Ulama ISMA (MUIS) menyeru agar Kassim Ahmad untuk segera kembali bertaubat dan menarik kembali kefahaman Islam yang telah beliau selewengkan.

Ini susulan penganjuran Seminar "Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian", di Putrajaya pada 15 dan 16 Feb lalu dimana pihak Jakim menjelaskan bahawa pemikiran dan pandangan yang dikemukakan adalah bercanggah dengan prinsip dan juga sumber hukum dalam ajaran Islam.

"MUIS juga mahu masyarakat untuk menolak secara menyeluruh kefahaman sesat yang dibawa oleh beliau, kepada pihak berkuasa serta institusi agama untuk melakukan tindakan tegas terhadap beliau kerana beliau bukan sahaja mengancam Islam tetapi mengancam keharmonian negara Malaysia," kata Pengerusi MUIS Prof Madya Dr Aznan Hasan menerusi satu kenyataan.

Tambah beliau, kefahaman yang dibawa Kassim Ahmad berkaitan dengan Islam adalah terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar, bertentangan dengan pegangan umum Umat Islam, dan sesiapa yang berpegang dengan kefahaman ini boleh membawa kepada murtad (keluar dari Islam).

Ini termasuk penafian Hadis sebagai salah satu sumber pensyariatan, membawa kefahaman Zanadiqah dan Khawarij, menganggap ulamak Islam sebaris dengan kasta paderi dan kebebasan untuk murtad.

"Selain daripada beberapa perkara yang disebut, terdapat banyak lagi perkara asas dalam Islam telah diselewengkan oleh Kassim Ahmad seperti aurat wanita, isu syahadah kedua, isu kewujudan sebuah Negara Islam, mengistilahkan umat Islam sebagai mendewakan nabi dan lain-lain lagi fahaman yang menyesatkan.

"Kesemua isu-isu ini sebenarnya menyerlahkan lagi kedengkelan kefahaman beliau tentang ajaran Islam yang sebenar dan kejengkelan cara pemikiran beliau tentang methodologi perbahasan hukum-hukum Islam," kata beliau.

Tambah kenyataan itu, kefahaman sesat yang dibawa oleh Kassim Ahmad ini bukanlah suatu perkara yang baru kerana buku tulisan beliau bertajuk “Hadis: Satu Penilaian Semula” yang diterbitkan sekitar 1980-an telah difatwakan haram oleh banyak majlis fatwa negeri termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan.

Beliau juga pernah diistiharkan sebagai murtad oleh Majlis Fatwa negeri Sabah atas kefahaman beliau yang menyeleweng dan terpesong dari ajaran Islam yang sebenar.

"MUIS juga mengambil kesempatan ini untuk memperingatkan seluruh umat Islam, Kassim Ahmad bukanlah satu-satu kelompok yang membawa ajaran yang terpesong dari fahaman Islam di Malaysia ini.

"Masih wujud lagi kelompok lain yang cuba merosakkan Islam dari dalam seperti yang memperjuangkan Islam Liberal, kesamarataan agama, ajaran Syiah, feminisme yang bertentangan dengan Islam dan banyak lagi yang menuntut kepada Umat Islam bersikap waspada dan berhati-hati," jelas Dr Aznan.