KOTA KINABALU:Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyasarkan kutipan zakat tahun ini sebanyak RM90 juta khususnya daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata setakat November ini kutipan zakat ialah sebanyak RM84 juta.

"Pusat zakat juga turut mengadakan kempen untuk memberikan taklimat kepada GLC, pegawai dan orang perseorangan agar menunaikan zakat gaji masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM577,511.28 daripada Ketua Pegawai Eksekutif Sedafiat Sdn Bhd Datuk Buhtamam Ag Mahmun kepada Ketua Pegawai Eksekutif MUIS Ramlan Awang Ali di Wisma Muis, di sini hari ini.

Hadir sama Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Mohd Arifin berkata dengan adanya aktiviti kempen dan taklimat yang diadakan dapat membantu memberi kefahaman serta penjelasan lanjut kepada individu mahupun syarikat tentang pentingnya membayar zakat.

Katanya, terdapat lebih 100 GLC di Sabah dan berharap agar GLC yang memperoleh keuntungan dapat menunaikan zakat bagi membantu golongan yang memerlukan di negeri ini.

-- BERNAMA