Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mempunyai kaedah untuk mengurangkan tempoh menunggu pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) mengerjakan ibadah haji kali pertama.

Mujahid memberi jaminan itu sebagai salah satu proses pemulihan TH yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (TH) demi kepentingan dan kebajikan 9.3 juta pendeposit agensi itu.

“(Langkah) pemulihan nombor satu ialah enforcement untuk pulihkan antara aset dengan liabiliti.. dan sekarang kita dah capai. Dengan kata lain, perkara paling buruk sudah diatasi.

“Maka, bila kita telah buat priority untuk imbangi balik aset, mesti lebih yang saya kata lebih RM1 billion tu, dan sebab itu kita boleh keluarkan hibah yang berjumlah RM913 juta,” ujar Mujahid.

Tambahnya, langkah seterusnya adalah melihat semula keperluan penstrukturan semula dari sudut pendeposit supaya terjaga kebajikan mereka.

“Langkah seterusnya, kita nak tengok tentang haji itu sendirilah. Macam mana kita nak kurangkan kadar (tempoh) tunggu yang panjang sampai 100 tahun. Ada kaedahnya... kita sedang meneliti, insya-Allah,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Program Rakan Masjid Hospital (Ramah) di Hospital Putrajaya, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Rohaizat Yon; Pengarah Hospital Putrajaya, Datuk Dr Nora’i Mohd Said; Pengarah Institut Kanser Negara, Dr Asmayani Khalib dan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Jumaat lalu, TH mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018.

Mujahid ketika pengumuman hibah itu berkata, pelan penstrukturan yang dilaksanakan membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menyelamatkan TH demi kepentingan 9.3 juta pendeposit.

Media melaporkan Mujahid berkata, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM500 juta pada 2020 dan seterusnya sebanyak RM1.73 bilion setahun sehingga semua sukuk ditebus semula.

Susulan pelan pemulihan itu, Mujahid diberi jaminan oleh pihak pengurusan baharu TH bahawa laporan prestasi agensi yang menguruskan jemaah haji itu akan dibentangkan kepada kerajaan empat kali setahun.

Jelasnya, pihaknya telah diberi jaminan oleh pihak pengurusan baharu TH, setiap suku tahun dia akan bentangkan prestasi kewangan supaya orang boleh tahu prestasinya setakat ini.