Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir membatalkan hasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berita Malaysian Insider yang memohon maaf kepadanya susulan penyiaran laporan beliau terbabit politik wang.

Mukhriz berkata portal berita itu juga menarik balik laporan berita yang disiarkan semalam.

"Laporan ini keluar pada saat-saat akhir sedangkan kita telah berkempen selama dua minggu, tiada pun gambaran atau andaian buruk sangka timbul.

"Saya tergerak mengambil tindakan undang-undang terhadap The Malaysian Insider sebagai amaran dan untuk mempertahankan diri. Media dalam talian dan alternatif yang bebas mesti beretika membuat laporan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mukhriz sebelum itu diumum menang jawatan ketua Umno Bahagian Jerlun tanpa ditandingi.

Beliau yang juga bertanding jawatan naib presiden parti tidak menolak perbuatan itu dilakukan oleh pihak yang mahu beliau kalah dalam pertandingan peringkat tertinggi berkenaan.

Semalam, portal berita itu menyiarkan laporan yang antara lain mendakwa Mukhriz mengamalkan politik wang dalam pemilihan Umno kali ini.

Susulan itu, pihak Menteri Besar berkenaan meminta pengendali portal menarik balik laporan dan meminta maaf kepada Mukhriz sebelum pukul 10 pagi hari ini atau berdepan tindakan undang-undang.

Hari ini pengendali laman tersebut menarik balik laporan berkenaan sambil menyatakan laporan itu tidak tepat. Menurut Mukhriz beliau menerima permohonan maaf itu pada 9.48 pagi tadi.

Selain laporan Malaysian Insider itu, ada laman sosial yang menggunakan nama Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebarkan maklumat menyatakan Mukhriz hilang kelayakan bertanding.

Hari ini Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden parti menafikan akaun itu miliknya mahupun mengeluarkan kenyataan berkenaan.

Mengulas perkara itu, Mukhriz berkata :"Ini satu lagi cubaan tidak beretika untuk menggagalkan saya dipilih menjadi naib presiden." -- Bernama