MALAYSIA
'Mungkin bapa terlepas cakap, kanak-kanak lemas masih dirawat di hospital' - Exco

Keluarga mangsa juga mengharap ada keajaiban dari Allah SWT agar kanak-kanak itu diberikan peluang untuk hidup
MELAKA: Seorang lelaki yang sebelum ini berkongsi status bahawa anak lelakinya yang kritikal akibat lemas sudah meninggal dunia disebabkan kemungkinan kerana gagal mengawal emosi.
Ringkasan AI
- Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun kritikal selepas lemas di kolam renang rumah inap di Melaka, dan kini bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan pernafasan di Hospital Melaka; doktor memaklumkan otak mangsa tidak lagi berfungsi.
- Bapa mangsa sebelum ini tersilap memaklumkan anaknya telah meninggal dunia, dipercayai akibat gagal mengawal emosi; keluarga kini berharap kepada keajaiban dan memohon orang ramai mendoakan kesembuhan anak mereka.
- Mangsa dijadual menjalani prosedur khas untuk menentukan kemungkinan diselamatkan tanpa bantuan mesin; insiden berlaku ketika percutian keluarga dan operasi menyelamat dijalankan oleh pasukan bomba dengan bantuan CPR sebelum mangsa dibawa ke hospital.
Beliau berkata, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu kini masih bergantung sepenuhnya dengan mesin bantuan pernafasan di wad berkenaan.
Menurutnya, keluarga mangsa juga mengharap ada keajaiban dari Allah SWT agar kanak-kanak itu diberikan peluang untuk hidup dan mereka turut meminta orang ramai mendoakan kesembuhan mangsa.
"Hanya keajaiban Allah yang boleh menentukan segalanya sebab itu, pada hari pertama kejadian (bapa) rasa kecewa dan reda sebab itu dia terlepas cakap mangsa (meninggal dunia), mungkinlah.
"Dalam pertemuan tadi doktor juga memaklumkan otak mangsa sudah tidak lagi berfungsi atau otak mati dan bergantung sepenuhnya pada mesin bantuan penafasan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, mangsa yang sedang bertarung nyawa akan menjalani satu prosedur khas pada Selasa ini untuk mengetahui adakah mangsa boleh diselamatkan sekiranya mesin bantuan pernafasan dicabut.
Terdahulu media melaporkan bapa kanak-kanak itu, Ahmad Ridzuan Supian,36, mengesahkan anaknya Ahmad Firdaus Iqbal, 7, telah meninggal dunia selepas tidak menunjukkan reaksi balas ketika mendapatkan rawatan di hospital itu.
Malah lelaki itu turut berkongsi status bahawa jenazah anak bongsu dua beradik itu akan dibawa pulang ke Johor untuk urusan pengebumian menerusi akaun TikTok miliknya.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan percutian sebuah keluarga bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dilaporkan kritikal selepas lemas di kolam renang sebuah rumah inap di kondominium Taman Kota Shahbandar Kota Laksamana.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Zahery Mohd Zailani berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar jam 9.45 pagi sebelum tiga jentera termasuk van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) bersama lapan anggota ke lokasi kejadian.
Setibanya di lokasi, didapati seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun telah dikeluarkan dari kolam oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Anggota bomba segera memberikan bantuan pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR),” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk tindakan selanjutnya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami