Skip to main content

Malaysia

Murid jatuh bangunan sekolah: Tiada unsur buli, kemalangan sendiri - Polis

MELAKA, 14 Ogos -- Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Batu Berendam, di sini, hari ini.  --fotoBERNAMA (2025) HAKCIPTA TERPELIHARA
ACP Christopher Patit berkata, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan disahkan mengalami keretakan kecil pada pergelangan kaki kanan. - Gambar fail/BERNAMA

MELAKA: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang murid Tahun Lima sebuah sekolah rendah di Batu Berendam yang terjatuh dari bumbung garaj basikal sekolah pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 12.40 tengah hari semasa waktu pertukaran kelas.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai bertindak membaling kasut seorang murid lain sehingga tersangkut di atas bumbung garaj basikal sebelum cuba mengambil semula kasut tersebut dengan memanjat bumbung berkenaan.

“Siasatan mendapati semasa mangsa cuba memanjat semula ke tingkat satu bangunan sekolah, bahagian bumbung yang dipijak telah patah menyebabkan mangsa terjatuh ke bawah.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kaki kanan. Mangsa diberikan bantuan kecemasan oleh pihak sekolah sebelum dihantar ke Hospital Melaka dan kemudiannya dipindahkan ke hospital swasta untuk rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan disahkan mengalami keretakan kecil pada pergelangan kaki kanan.
 

Tambah beliau, siasatan yang dijalankan bersama pasukan siasatan jenayah, forensik dan saksi mendapati kejadian berlaku akibat kemalangan sendiri.

“Mangsa turut mengesahkan tiada sebarang unsur buli, penganiayaan atau pengabaian berlaku sebelum atau semasa kejadian,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak benar berkaitan kejadian tersebut yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat serta mengganggu siasatan.

Katanya, siasatan dibuka di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP). - Sinar Harian

 

Must Watch Video