Murid tidak akan terlalu tertekan dengan peperiksaan jika cadangan menukar format Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada bentuk taksiran seperti Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dilaksanakan kelak, menurut Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional.

Presidennya Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata perubahan itu sekali gus membolehkan murid menerima pendidikan dan kemahiran secara lebih menyeluruh dan bukannya fokus kepada peperiksaan semata-mata.

"Memandangkan PT3 sudah bermula beberapa tahun lepas dan pengamal industri pendidikan sudah merasai impak positif dan hasil yang memuaskan, saya rasa memang terdapat kewajaran format UPSR diubah.

"Memang menjadi hasrat institusi pendidikan untuk menghasilkan pelajar yang holistik dan tidak tertekan kepada peperiksaan, khasnya peperiksaan akhir tahun sahaja," katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas cadangan perubahan format UPSR kepada bentuk taksiran seperti PT3 dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan berkata, perkara itu masih dalam proses perbincangan.

Menyifatkan perubahan format itu sangat bertepatan dengan situasi pendidikan ketika ini, Mohamad Ali berkata kesiapsiagaan tenaga pengajar juga perlu diambil kira sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

"Saya berpendapat, guru-guru perlu diberi latihan semula sebagai persediaan. Bahan pembelajaran dan pengajaran taksiran juga perlulah mencukupi.

"Ini perlu dilakukan dari tahap rendah dan mungkin boleh dimulakan dari Darjah Satu sebelum ke peringkat seterusnya agar ia tidak terus mendadak," katanya yang membayangkan perubahan format ini boleh dilaksanakan dalam masa dua tahun lagi jika segala-galanya telah siap tersedia.

Senada dengannya, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kamarozaman Abd Razak menyifatkan perubahan format UPSR itu akan membantu pelajar dan guru lebih tenang dan kurang merasai tekanan dan bebanan peperiksaan.

Namun, katanya, kajian perlu dilakukan untuk menentukan format perubahan taksiran UPSR sama ada lebih kepada kemahiran atau peperiksaan.

"Adakah taksiran akan menjadi sama rata; 50 peperiksaan, 50 kemahiran dan kokurikulum, atau 30 peperiksaan dan 70 kemahiran dan kokurikulum. Kalau boleh biarlah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (kemahiran dan kokurikulum) itu yang lebih kuat dinilai berbanding peperiksaan.

"Alam kanak-kanak perlu dikembalikan dan bukannya ditekankan dengan peperiksaan," katanya yang menyambut baik cadangan perubahan format UPSR itu. -- BERNAMA