BATU PAHAT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut selepas dilanggar sebuah van dalam kemalangan jalan raya di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, di sini tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira 12.30 tengah hari di hadapan pintu pagar utama sekolah berkenaan.
Advertisement
Beliau berkata siasatan awal oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah van yang berada dalam kawasan sekolah selepas selesai menghantar barang, sedang bergerak keluar melalui pintu pagar utama menuju ke Jalan Simpang Lima–Parit Sulong.
“Ketika itu, berlaku perlanggaran dengan mangsa yang merupakan pejalan kaki di hadapan pintu pagar utama sekolah tersebut.
"Mangsa yang juga murid tahun dua sekolah berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan organ dalaman, dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Parit Sulong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, pemandu van lelaki tempatan berusia 60 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, pemandu van berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.
Terdahulu, jenazah kanak-kanak malang itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Mustaffa kira-kira 9 malam tadi.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor dalam kenyataan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa Nur Aini Umairah Mohd Fareez selain memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang menguruskan bantuan sewajarnya selain memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan keluarga murid berkenaan diberi perhatian.
Sementara itu, datuk mangsa ketika ditemui media berkata dia tidak menyangka lambaian sebelum ke sekolah kira-kira 7 pagi tadi akan menjadi kenangan terakhir bersama cucunya.
Tugiran Loso, 67, berkata setiap hari sebelum ke sekolah, cucunya akan melambai kepadanya dan sebaik pulang, arwah juga akan menjerit memanggil namanya.
“Kebiasaannya arwah akan ke sekolah dengan menaiki kereta ibu, Asmilah Tugiran, 38, dan ketika itulah dia akan melambai-lambai kepada saya… mulai esok tiada lagi lambaian arwah kerana dia telah pergi buat selama-lamanya dan saya akan merindui kenangan tersebut.
“Saya hanya mengetahui cucu saya telah tiada daripada anak saya (ibu mangsa), yang ketika itu mahu mengambilnya dari sekolah… ibu arwah mengetahui anaknya terlibat kemalangan hanya selepas pengecaman melalui kasut yang dipakai arwah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Parit Mustaffa, di sini hari ini.
-- BERNAMA