KUALA TERENGGANU: Seramai 5,386 murid dari 74 buah sekolah terjejas banjir di Terengganu memulakan sesi persekolahan penggal ketiga di Terengganu pada Ahad.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Abdul Muie Ngah berkata, hari pertama sesi persekolahan itu berjalan lancar meskipun banjir luar biasa melanda negeri itu pada 18 Disember lalu.

Jelas beliau, kerja-kerja pembersihan dan agihan kerusi serta meja di semua sekolah yang terjejas diselesaikan sebelum bermula sesi persekolahan hari ini.

"Walaupun banjir tahun ni agak luar biasa namun usaha semua pihak yang sama-sama menggembleng tenaga secara bergotong-royong membolehkan semua sekolah terjejas dibersihkan dan dipulihkan kembali.

"Kita bersyukur kerana hari ini seramai 5,386 murid dari 74 buah sekolah terjejas banjir di seluruh Terengganu dapat kembali semula untuk bersekolah seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Rusa, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Jelani Sulong.

Dalam bencana banjir sebelum ini SK Pulau Rusa merupakan antara sekolah teruk terjejas kerana dinaiki air setinggi 1.4 meter.

Abdul Muie memberitahu, sebanyak 17 buah sekolah terjejas di daerah Hulu Terengganu, Dungun (11), Setiu (10), Besut (9), Kuala Nerus (8), Kuala Terengganu (8), Kemaman (7), dan Marang (4).

"Antara kerosakan teruk melanda sekolah yang terjejas banjir melibatkan kerusi dan meja murid termasuk yang berada di dewan peperiksaan.

"Kita telah mengambil langkah untuk mengatasi masalah ini bagi memastikan semua murid dapat bersekolah seperti biasa, " ujar beliau.

Dalam pada itu, Abdul Muie berkata, secara keseluruhan sebanyak 352 buah sekolah rendah dan 153 sekolah menengah di Terengganu memulakan persekolahan pada Ahad selepas cuti akhir tahun bagi penggal 3, sesi 2022/2023 selama 23 hari. -Sinar Harian