Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan semalam telah menjelaskan bahawa penyertaan beliau dalam Majlis Penasihat Keselamatan Pakatan Rakyat (PR) sebagai penasihat adalah tidak rasmi.

Musa kata bahawa beliau telah setuju untuk memberi nasihat tetapi tidak ada perlantikan secara rasmi.

"Saya tetap tidak memihak kepada mana mana parti politik. Saya pun tidak pernah menyertai mana-mana parti politik," kata Musa kepada Astro Awani.

Musa nafi tindakan beliau bermaksud menyokong Pakatan.

"Saya sentiasa rela membantu. Saya pernah berucap atas jemputan NGO yang kira rapat dengan BN juga," katanya.

Tambah beliau, Musa menasihat majlis keselamatan tersebut sebagai seorang bekas polis dan patron kepada NGO memerangi jenayah MyWatch.

Sebelum ini, Musa dilaporkan telah menyertai majlis itu selepas menerima pelawaan daripada bekas Panglima Turus Tentera Darat Jeneral (B) Tan Sri Datuk Seri Md Hashim Hussein, yang juga merupakan pengerusi majlis itu.

Dalam satu kenyataan media bersama Musa yang dikeluarkan petang tadi, Md Hashim berkata majlis itu bimbang tentang keganasan politik yang semakin meningkat semasa pilihan raya umum ke-13.

Beliau turut merujuk kepada kenyataan Kementerian Dalam Negeri sebelum ini yang berkata keganasan politik sememangnya telah berlaku dan keadaan ini berkemungkinan menjadi lebih buruk.

“Kami melihat kenyataan ini sebagai satu pengesahan kepada keganasan politik. Disebabkan itu, saya telah bertemu dengan Musa dan beliau bersetuju untuk menjadi penasihat majlis.

“Sebagai pihak yang menghabiskan sebahagian besar hidup melindungi dan berkhidmat kepada rakyat Malaysia, saya berharap tiada ruang untuk keganasan politik dalam proses demokrasi kita,” katanya sambil menambah bahawa pilihan raya bukan sahaja harus bebas dan adil, tetapi juga harus di dijalankan secara aman dan dengan cara yang teratur.

Sementara itu, Musa pada satu sidang media petang tadi turut berkata beliau bimbang tentang keganasan politik yang semakin meningkat semasa pilihan raya umum ke 13.

Bagaimanapun, beliau menegaskan masih bersikap berkecuali dan tidak menyokong mana-mana parti politik.