MALAYSIA
Musim panas? Golongan ini antara yang paling pandai ambil kesempatan

Musim panas yang melanda negara sejak kebelakangan ini membawa rezeki dan rahmat kepada segelintir pihak. - Gambar hiasan
Musim panas yang melanda negara sejak kebelakangan ini membawa rezeki dan rahmat kepada segelintir pihak, termasuk peniaga yang menyediakan perkhidmatan mencuci karpet di sini.
Pengusaha kedai cuci karpet dan spa kereta di Meru di sini, Ahmad Sahlan Mohammad, 40, berkata bilangan pelanggan yang menghantar karpet dan kusyen ke kedainya meningkat, sejak cuaca panas berbanding waktu biasa.
"Sejak cuaca panas ini pendapatan saya meningkat 20 hingga 30 peratus sehari, kerana cuaca panas mempercepatkan proses pengeringan dan pelanggan tidak perlu menunggu lama," katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata proses pengeringan karpet pada musim panas mengambil masa sehari hingga dua hari, berbanding tiga hingga empat hari sebelum ini, manakala proses pengeringan kusyen luaran yang kebiasaannya memakan masa dua jam, kini tempoh masanya kurang daripada itu.
Sementara itu, pengusaha kedai cuci karpet di Bandar Seri Botani di sini, Mohamad Badlisyah Mohamad Rozalli, 38, berkata cuaca panas memberi kelebihan kepada mereka yang mengusahakan perniagaan tersebut, kerana ia mempercepatkan proses pengeringan.
"Apabila musim panas ini kami jemur di luar dan mempercepatkan proses pengeringan daripada empat hari kepada dua hari. Dalam sehari saya boleh cuci lapan hingga 10 karpet berbanding sebelum ini hanya empat hingga lima sahaja," katanya yang telah mengusahakan perniagaan itu selama empat tahun.
"Saya tahu musim panas ini ramai yang hantar karpet ke kedai untuk cuci, tapi musim panas ini karpet mesti cepat kering dan pelanggan tak perlu tunggu lama walaupun ramai pelanggan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami