IPOH: Orang ramai khususnya bagi penggemar aktiviti rekreasi dan sukan lasak sekali lagi dinasihatkan untuk tidak ke kawasan yang berisiko tinggi pada musim tengkujuh.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan, walaupun perkara itu sudah disuarakan berulang kali, namun ada yang masih melakukan aktiviti di kawasan tersebut.

"Semua orang tahu di Malaysia ini musim tengkujuh sudah bermula. Jadi hujan tidak menentu dan harus diingat bila hujan ia akan melibatkan air hujan begitu lebat.

"Pada waktu tertentu pula terlalu lebat, dan masa yang panjang. Jadi bagi sesetengah tempat ini, air akan mudah naik bertakung dan mereka yang berada di tempat tertentu, akan mudah terperangkap.

"Bukan sahaja di Gua Tempurung, ia termasuk orang yang berminat untuk pergi menjala ikan di hulu sungai, air terjun... dia kena ingat benda ini atas ingatan masing-masing.

"Sebab kita sudah sebut banyak kali, musim sebegini dia kena tahu bahawa dalam keadaan tertentu tidak cukup selamat untuk berada di situ, saya tahu ramai yang berminat untuk 'hiking', ini bukan musimnya," katanya.

Saarani berkata demikian sebagai mengulas insiden 30 individu terperangkap di Gua Tempurung berhampiran Kampung Sahom, Gopeng semalam selepas laluan keluar dinaiki air disebabkan hujan lebat.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir menyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) di antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan YTL Communications Sdn. Bhd. di sini pada Khamis.

Semalam, media melaporkan, dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, kesemua mereka merupakan kru produksi dari Singapura yang sedang menjalankan aktiviti penggambaran di kawasan itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejadian berlaku disebabkan air naik mendadak di laluan gua berkenaan yang berpunca daripada hujan lebat berterusan.

Bagaimanapun, kesemua mangsa merupakan warga tempatan dan Singapura berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat.