IPOH: Penduduk di negeri Perak dinasihatkan untuk melakukan persiapan sewajarnya bagi menghadapi kemungkinan banjir besar ekoran musim tengkujuh yang dijangka melanda tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata keadaan cuaca yang tidak menentu termasuk hujan lebat perlu diberi perhatian, bagi mengelak kesulitan yang lebih serius sekiranya berlaku banjir besar.

"Saya mahu mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dan berhati-hati dengan keadaan hujan yang tidak menentu dengan musim tengkujuh yang akan menjelang tiba.

"Orang ramai perlu memberi perhatian yang serius untuk membuat persediaan bagi menghadapi hujan lebat yang luar biasa dan menyebabkan kemungkinan banjir berlaku di tempat masing-masing," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat keadaan banjir di Sungai Siput hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zolkafly berkata hujan berterusan sejak petang semalam sehingga pukul 4 pagi tadi menyebabkan banjir di lokasi berkenaan selepas air melimpah ke kawasan rendah berikutan limpahan air Sungai Pelus.

"Banjir kali ini agak besar dan sebahagian kawasan ditenggelami air setinggi 1.5 meter. Ia melibatkan keseluruhan kawasan di Kampung Lintang, Kampung Pondok, Kampung Darat, Kampung Cherakoh, Kampung Tok Sirat, Kampung Lasah dan melibatkan lebih 80 buah rumah terlibat dibanjir," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zolkefly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang berkata pihaknya akan menyalurkan sumbangan bantuan kotak makanan bagi meringankan beban kepada mangsa banjir termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dan keseluruhan mangsa di parlimen Sungai Siput yang turut terjejas.

"Semua bantuan ini akan diuruskan oleh Pejabat Daerah dan Tanah serta Jawatankuasa Bencana Alam daerah Kuala Kangsar yang akan dipengerusikan Pegawai Daerah," katanya.

-- BERNAMA