Pas yakin keputusan Majlis Syura menggugurkan keahlian bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa tidak menjejaskan momentum parti itu untuk menempuh pilihan raya umum ke-13 nanti.
 
Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali menyifatkan kesiapsiagaan Pas menjelang PRU-13 berada dalam keadaan baik.
 
"Sokongan terhadap PAS tidak akan terjejas dengan keputusan Majlis Syura itu," kata Mustafa ketika dihubungi Astro AWANI
 
Nasharudin kini memegang status sebagai ahli biasa Pas selepas digugurkan daripada Majlis Syura pada 13 Januari lalu atas alasan gagal memberi komitmen terhadap tugasnya sebagai anggota majlis itu.
 
"Beliau (Nasharudin) juga didapati tidak hadir beberapa mesyuarat Majlis Syura," tambah Mustafa.
 
Sebelum ini Nasharudin menyertai lawatan kemanusiaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Gaza.
 
Nasharudin dalam kenyataan mengulas mengenai lawatan bersejarah ke Gaza berkata, beliau tidak mahu melayan sebarang tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya khususnya oleh sesetengah pihak khususnya di dalam Pas.
 
Jelas beliau, lawatan itu tidak ada kena mengena dengan parti dan ia dibuat atas dasar sebagai seorang Islam yang prihatin kepada nasib orang Islam lain.