Dengan harga sekeping roti canai atau seringgit, warga kota boleh menggunakan semua perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) tanpa had untuk satu hari.

Demikian penerangan mudah Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi), Encik Muhammad Nizam Alias mengenai inisiatif terbaharu mereka, iaitu kad perjalanan tanpa had My30, yang menawarkan perjalanan tanpa had RM30 untuk tempoh 30 hari dan bakal bermula pada Isnin ini.

Muhammad Nizam berkata berkata pakej My30, yang menggantikan sementara pas perjalanan tanpa had My100 dan My50, adalah sebahagian inisiatif Kerajaan dalam menjana semula ekonomi negara, yang amat terkesan daripada penularan wabak COVID-19.

“Bayangkan dengan harga sekeping roti canai atau RM1, anda boleh menggunakan perkhidmatan MRT, LRT, monorail, BRT dan semua bas henti-henti Rapid KL di samping bas perantara berulang alik dan tanpa had dalam masa satu hari dengan menggunakan My30.

"Ia sememangnya satu penjimatan yang cukup hebat untuk semua rakyat Malaysia di Lembah Klang,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pagi ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan inisiatif My30 yang menyediakan kemudahan perjalanan tanpa had menggunakan semua perkhidmatan kendalian Kumpulan Prasarana dengan hanya RM30 untuk tempoh 30 hari.

Menurut kenyataan Prasarana, pakej My30 boleh digunakan untuk tempoh enam bulan daripada 15 Jun sehingga akhir Disember; sekali gus menggantikan sementara pakej My100, yang dijual dengan harga RM100 untuk perjalanan tanpa had selama 30 hari.

Menurut kenyataan tu, pengguna boleh mula mendaftar untuk pakej baru My30 mulai 15 Jun di semua 122 buah stesen LRT, MRT, Monorel, BRT dan 5 hab bas di Pasar Seni, Seksyen 2, Shah Alam, Greenwood, Terminal Kajang dan Sri Nilam dengan menggunakan MyKad dan MyTentera masing-masing.

“Pihak pengurusan Kumpulan Prasarana sentiasa mendukung aspirasi kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat. Dalam mengharungi situasi yang mencabar pada ketika ini, kami berharap agar pengguna dapat memanfaatkan produk My30 sebaiknya dan terus menggunakan rangkaian perkhidmatan Rapid KL.

"Sejurus selepas berakhir promosi untuk My30 ini, pakej-pakej My100 dan My50 akan dijual semula mulai 1 Januari 2021,” kata Muhammad Nizam lagi.