MALAYSIA
Myanmar perlu patuhi Konsensus Lima Perkara, pilihan raya bukan keutamaan – Mohamad

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, pelaksanaan 5PC bukanlah sesuatu yang sukar kerana ia merangkumi perkara asas bagi menyelesaikan krisis di Myanmar. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Negara-negara ASEAN dan semua rakan dialog termasuk Rakan Dialog Sektoral sebulat suara menegaskan bahawa Myanmar perlu mematuhi sepenuhnya Konsensus Lima Perkara (5PC) yang telah dipersetujui oleh pemimpin ASEAN pada 2021.
Ringkasan AI
- Negara anggota dan rakan dialog ASEAN menegaskan Myanmar perlu melaksanakan sepenuhnya 5PC yang merangkumi gencatan senjata, dialog inklusif dan akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan.
- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan bahawa pilihan raya tidak wajar diadakan selagi keganasan belum dihentikan dan semua pihak belum bersedia untuk berdialog secara inklusif.
- Ketua Junta Min Aung Hlaing berikrar untuk mengadakan pilihan raya pada Disember 2025 atau Januari 2026, namun pelaksanaannya mungkin berperingkat kerana isu keselamatan dan kawalan wilayah yang terhad.
‘’Myanmar perlu memenuhi syarat-syarat Konsensus Lima Perkara, tidak susah kerana ia bagi membolehkan gencatan senjata, ada dialog di antara semua pihak-pihak berkepentingan dan yang bercanggah atau kemudahan untuk segala bantuan kemanusiaan dapat sampai ke pihak-pihak yang memerlukan,’’ katanya.
Mohamad berkata demikian selepas Sidang Kemuncak Menteri-Menteri Luar Asia Timur (EAS FMM) ke-15 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada Jumaat.
Selain itu, Mohamad menegaskan bahawa ASEAN berpandangan bahawa menganjurkan pilihan raya di negara itu bukan satu keutamaan ketika ini.
Ini kerana, sebarang pilihan raya yang diadakan tanpa penyertaan semua pihak berkepentingan adalah sia-sia dan hanya akan memburukkan lagi krisis politik dan kemanusiaan di negara itu.
‘’Myanmar ada mencadangkan mereka nak mengadakan pilihan raya tapi kami (ASEAN) menasihati mereka, pilihan raya bukan keutamaan untuk masa sekarang.
‘’Keutamaannya adalah menghentikan segala keganasan, kekejaman supaya semua pihak dapat duduk bersama.
‘’Barulah boleh kita memikirkan supaya mereka (Myanmar) mengadakan pilihan raya, kalau diadakan tanpa disertai oleh semua pihak pun tiada guna, there’s no point to have partial elections,’’ katanya lagi.
Pada 26 Jun lalu, akhbar milik kerajaan Myanmar, The Global New Light of Myanmar, melaporkan Ketua Junta, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, berikrar bahawa pilihan raya akan diadakan pada Disember tahun ini dan Januari tahun hadapan.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada pilihan raya itu akan dijalankan secara berperingkat, sesuatu yang mungkin mencerminkan kesukaran pihak junta menjamin keselamatan untuk satu hari pengundian seluruh negara atau sama ada jadual berkenaan merangkumi tempoh berkempen.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami