Skip to main content

Malaysia

Myanmar sedia terima hingga 4,000 lagi rakyatnya - PM Anwar

Perdana Menteri Anwar (kanan) berjabat tangan dengan Presiden Min Aung Hlaing semasa kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan dua hala di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. - Gambar Bernama
Perdana Menteri Anwar (kanan) berjabat tangan dengan Presiden Min Aung Hlaing semasa kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan dua hala di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. - Gambar Bernama

Advertisement

PUTRAJAYA: Myanmar menyatakan kesediaan menerima penghantaran pulang antara 3,000 hingga 4,000 lagi rakyatnya yang kini berada di depot tahanan imigresen Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing dalam pertemuan dua hala mereka di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, proses penghantaran pulang itu tertakluk kepada pengesahan identiti, semakan rekod jenayah serta prosedur yang ditetapkan kedua-dua negara.

“Presiden turut menyebut bahawa antara 3,000 hingga 4,000 individu yang kini berada di depot tahanan akan dihantar pulang.

“Mana-mana individu yang dapat disahkan berasal dari Myanmar boleh diterima pulang, namun semakan rekod jenayah dan prosedur berkaitan perlu dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Min Aung Hlaing sempena lawatan rasmi Presiden Myanmar itu ke Malaysia, di sini, hari ini.

Anwar turut memaklumkan, lebih 10,493 warga Myanmar telah dihantar pulang dari Malaysia melalui penerbangan dan kapal tentera laut setakat ini.

Menurutnya, kerjasama kedua-dua negara dalam urusan berkenaan turut melibatkan penyelarasan antara pihak berkuasa serta angkatan laut Malaysia dan Myanmar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Myanmar atas kesediaan menerima kepulangan rakyatnya, termasuk menanggung kos penghantaran pulang dalam jumlah yang besar.

“Tidak banyak negara, berdasarkan pengalaman saya, yang bersedia menerima penghantaran pulang dalam jumlah besar dengan menanggung perbelanjaan sendiri seperti yang ditunjukkan Myanmar,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar berkata, rundingan lanjut mengenai penghantaran pulang baki warga Myanmar akan diteruskan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan pihak berkuasa negara berkenaan.

Beliau turut menyifatkan perbincangan bersama Min Aung Hlaing sebagai terbuka dan konstruktif, khususnya dalam memperkukuh kerjasama dua hala yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Must Watch Video

Advertisement