Humanitarian Care Malaysia (MyCare) menyeru semua pihak antarabangsa untuk mendesak Israel agar membebaskan kesemua 22 ahli misi yang berada di atas kapal Al-Awda.

Pengerusinya Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dalam satu media khas berkata, tindakan merampas kapal Al-Awda dan membawa anak kapalnya masuk ke Israel secara paksa adalah satu rompakan dan penculikan.

“Israel tidak berhak melayan Al-Awda dan anak kapalnya seperti penjenayah.

“MyCare menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan semua peruntukan yang ada untuk menjamin keselamatan kesemua 22 ahli misi daripada 16 negara sehingga mereka selamat pulang ke negara masing-masing,” kata Dr Hafidzi.

Beliau turut mendesak PBB, Kesatuan Eropah, OIC dan forum-forum antarabangsa untuk mengambil tindakan ke atas Israel atas jenayah menahan kapal Al-Awda di perairan antarabangsa.

MyCare menegaskan bahawa kapal Al-Awda tidak melakukan sebarang kesalahan mahupun melanggar mana-mana undang-undang seperti yang didakwa tentera dan media Israel.

Kapal Al-Awda membawa 22 orang aktivis daripada 16 negara temasuk Prof. Madya Dr Mohd Afandi Salleh iaitu wakil tunggal Malaysia dalam pelayaran terakhir Al-Awda.

Turut hadir dalam sidang media ialah isteri kepada Dr Mohd Afandi iaitu Ayu Mazlan, 45 tahun.

Pada mulanya merasakan sangat cemas apabila mendapat tahu suami dan aktivis lain diculik pihak Israel.

“Kita tahu Israel sangat jahat, sangat zalim.

“Namun saya tahu MyCare dan Freedom Flotilla Coalition (FCC) mempunyai perancangan dan strategi yang bagus. Saya yakin keselamatan suami terjamin. Saya memohon kebebasan itu berjalan lancar,” katanya dalam sidang media yang sama.

Kapal itu belayar sejak 22 Mei dari Copenhagen, Denmark dengan penyertaan 13 orang rakyat Malaysia secara bergilir-gilir mengikut fasa.

Selain membawa bekalan perubatan yang memamg diperluka oleh penduduk Gaza, misi ini mempunyai satu tujuan murni iaitu membebaskan Gaza daripada sekatan zalim Israel.

MyCare turut menyeru rakyat Malaysia dan dunia untuk mengenakan tekanan kepada Israel melalui pelbagai inisiatif termasuk boikot.