MALAYSIA
MyDigital ID kekal fokus sediakan identiti digital selamat, berdaulat untuk rakyat Malaysia

MyDigital ID akan terus menjalinkan kerjasama secara konstruktif dengan para pemain industri bagi memastikan pembangunan yang saling melengkapi dan tidak bertindih selain mengelakkan sebarang risiko kekeliruan atau perpecahan kepada rakyat.
PUTRAJAYA: MyDigital ID Sdn Bhd (MyIDSB) mengulangi komitmennya untuk melaksanakan mandat di bawah Strategi Nasional dan pelan tindakan pembangunan dengan menyediakan identiti digital yang selamat, berdaulat serta mampan untuk setiap rakyat Malaysia, sebagai asas kepada keselamatan negara dan pertumbuhan ekonomi.
Menerusi kenyataan bersama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), syarikat itu memaklumkan bahawa pihaknya akan terus menjalinkan kerjasama secara konstruktif dengan para pemain industri bagi memastikan pembangunan yang saling melengkapi dan tidak bertindih selain mengelakkan sebarang risiko kekeliruan atau perpecahan kepada rakyat.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media baru-baru ini berkaitan pelancaran inisiatif sektor swasta dalam ruang identiti digital termasuk platform MyNasional oleh NexG.
"Kami mengalu-alukan hasrat para pemain industri untuk memperkukuh ekosistem digital negara. Bagaimanapun, adalah penting untuk mengulangi beberapa prinsip utama," katanya.Menurut kenyataan itu, MyDigital ID (MyDID) yang dikendali oleh MyIDSB adalah infrastruktur identiti digital nasional rasmi Malaysia serta dibangunkan sebagai Infrastruktur Digital Awam di bawah Jabatan Perdana Menteri dan dikawal selia oleh NACSA di bawah Majlis Keselamatan Negara.
"MyIDSB merupakan syarikat milik penuh MOF Inc sekali gus mencerminkan komitmen dan mandat penuh kerajaan untuk menjadikan MyDID sebagai identiti digital tunggal, selamat dan berautoriti bagi rakyat Malaysia sambil membolehkan akses yang mudah, selamat serta dipercayai kepada perkhidmatan kerajaan dan sektor swasta," katanya.
Walaupun syarikat swasta bebas untuk berinovasi dan membangunkan produk serta perkhidmatan identiti digital yang memenuhi keperluan pasaran khusus atau menawarkan nilai tambah, kenyataan itu menegaskan bahawa sebarang inisiatif yang mendakwa beroperasi pada skala nasional perlu sejajar dengan strategi negara, memastikan kebolehoperasian, serta mematuhi keperluan tadbir urus, keselamatan dan kedaulatan.
"MyDID sedang dibangunkan mengikut piawaian tertinggi daripada segi kepercayaan dan ketahanan termasuk pematuhan kepada standard global seperti Common Criteria, NIST dan ISO/IEC selain diselaraskan dengan kerangka perundangan semasa dan akan datang.
"Berbeza dengan inisiatif swasta, MyDID bukanlah berasaskan keuntungan. Ia dibangunkan sebagai sebuah Infrastruktur Digital Awam, yang mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat dengan mengekalkan prinsip berkecuali, keterangkuman dan kemampanan jangka panjang," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami