Skip to main content

Malaysia

MyDigital ID perkenal semakan biometrik wajah masa nyata, perkukuh keselamatan identiti digital

81764485231_MyDigitalID.jpg
Kerja-kerja penyelenggaraan kios MyDigital ID dijadualkan berlangsung bermula 12 Jun jam 6 pagi hingga 14 Jun jam 6 pagi bagi membolehkan proses kemas kini dilaksanakan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan semakan biometrik wajah secara masa nyata (real-time) dengan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam proses pendaftaran MyDigital ID sebagai langkah memperkukuh keselamatan identiti digital rakyat.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataan berkata penambahbaikan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan tahap keselamatan ekosistem identiti digital negara, sekali gus mengurangkan risiko penyalahgunaan identiti dan akses tanpa kebenaran.

Melalui sistem baharu itu, pengesahan wajah pengguna yang mendaftar di kios MyDigital ID akan disemak secara terus dengan rekod JPN bagi memastikan ketepatan identiti pemohon.

Menurut MKN, langkah berkenaan penting memandangkan penggunaan perkhidmatan digital semakin meluas dalam kalangan rakyat, perniagaan dan agensi kerajaan.

Pada masa sama, ancaman siber seperti penipuan dalam talian, penyamaran identiti dan kecurian data turut menjadi cabaran yang memerlukan langkah keselamatan lebih kukuh.

Selain pengguna baharu, pengguna sedia ada juga akan dimaklumkan mengenai keperluan untuk melakukan pengesahan semula biometrik wajah secara berkala bagi memastikan integriti identiti digital mereka sentiasa terpelihara.

Penambahbaikan keselamatan itu akan dilaksanakan secara berperingkat di semua kios MyDigital ID di seluruh negara.

Sehubungan itu, kerja-kerja penyelenggaraan kios MyDigital ID dijadualkan berlangsung bermula 12 Jun jam 6 pagi hingga 14 Jun jam 6 pagi bagi membolehkan proses kemas kini dilaksanakan.

Bagaimanapun, orang ramai masih boleh mendaftar MyDigital ID melalui aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun menerusi App Store, Google Play dan Huawei AppGallery.

MKN menegaskan usaha memperkukuh MyDigital ID merupakan sebahagian daripada inisiatif lebih besar untuk memastikan keselamatan identiti digital rakyat terus terjamin dalam era digital yang semakin mencabar.

 

 

Must Watch Video

Advertisement